Monday, April 2, 2012

Menyumbang IV


Peranan saya adalah menyumbang dan memberi perkhidmatan sebaik yang mungkin. Jika ada yang berubah kerana sumbangan yang telah saya lakukan….ianya hanyalah bonus dari perkhidmatan saya!". Anda mungkin pernah mendengar kata-kata sedemikian, tidak kiralah oleh sesiapapun. Anda juga mungkin boleh membayangkan konteks orang yang melafazkan demikian. Tentu sahaja kata-kata ini terbuka untuk dibahaskan, namun tanpa perlu berpolemik panjang rasanya saya cenderung untuk memilih jalan pragmatik dan realistik untuk melihatnya. 

Pernah satu ketika saya berkesempatan untuk berbicara dan memberi motivasi kepada sekumpulan anak-anak murid yang akan menduduki peperiksaan awam. Saya sudah lupa di sekolah mana saya mengutarakan kefahaman ini, namun saya tegaskan kepada anak-anak murid berkenaan bahawa saya tidak datang untuk membawa super tonik yang dengannya sekelip mata sahaja kita menjadi manusia cerdik dan pandai secara tiba-tiba selepas sahaja saya menyampaikan sesi bicara itu. 

Agaknya sudah menjadi stigma kepada masyarakat kita dengan acapkali melihat dan berfikir seperti itu. Apabila ada penceramah motivasi dijemput, cenderung membayangkan bahawa penceramah berkenaan akan membawa atau memberi sesuatu tips dan panduan yang luar biasa untuk diguna dan diamalkan menjelang peperiksaan awam. Sedangkan realiti yang cuba untuk tidak diakui oleh sang pelajar ialah betapa usaha yang telah dijana selama ini mungkin tidak memadai untuk mencapai status 'berjaya' dalam peperiksaan. Demikian juga dalam organisasi, apabila hadir seseorang pemimpin organisasi yang baru, pasti akan lahir telahan dan jangkaan tertentu yang akhirnya mengarah kepada bersedia menerima sesuatu yang luar biasa daripada sebelumnya. 

Mungkin tidak menjadi bahan bual bicara andai inisiatif pemimpin organisasi berkenaan menepati jangkaan dan telahan anggota organisasi berkenaan. Bayangkan pula bagaimana sebaliknya, andai jangkaan dan telahan orang bawahan dalam organisasi berkenaan tidak benar berlaku. Tekanan mungkin wujud dari dua aras berbeza. Tekanan kepada pemimpin itu sendiri untuk berusaha menepati apa-apa yang dipersepsikan orang bawahan sebelumnya. Tekanan ini jika silap perhitungan dan pertimbangan boleh mengundang natijah yang dahsyat kepada organisasi. Pada aras yang berbeza, jangkaan dan telahan dikalangan orang bawahan, andai tidak benar sebagaimana mereka ramalkan juga menjadi penanda aras. Tentu sukar untuk mendapatkan sokongan dan penglibatan mereka andai kita mengambil mudah perkara ini.

Sebab itu, benar kita sifu, selayaknya kita berperanan untuk memberi sumbangan kepada organisasi. Berkhidmat dengan sepenuh jiwa raga tanpa perlu untuk memberikan harapan yang tinggi menggunung kepada sesiapapun tanpa mengira tahap dan pangkat. Rasanya pada mana-mana organisasi, preskripsi tugas dan peranan itu pada keseluruhannya adalah sama. Kandungan tugasan itu masih dalam ruang lingkup yang sama. Sekali pandang kelihatannya tiada apa yang boleh diinovasikan lagi. Tetapi namanya berkhidmat dan memberi sumbangan yang terbaik, maka akan tercetuslah inovasi-inovasi tertentu pada organisasi dengan matlamat umum untuk memudahkan pengoperasian organisasi dan meningkatkan keberkesanan fungsinya.

Pendekatan 'Push the right button' tentu sekali harus menjadi motto, sehingga sentuhan kita dalam organisasi itu benar-benar dirasai sekalipun masih dalam ruang lingkup tugas yang sama. Rasanya inilah perbezaan utama yang sepatutnya cenderung berlaku dalam mana-mana kepimpinan organisasi. Cuma, memilih 'the right button' itu mungkin memerlukan penaakulan dan ilmu tertentu. Sebab itu, amat wajar andai kita memilih pendekatan sederhana dalam serba serbi disamping memberi sumbangan dan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi. Natijahnya, kita santai menjalankan tugas tetapi sentiasa fokus menyudahkan tugasan tersebut. Agaknya begitu!. 

No comments: