Pagi hari ini sekali lagi saya berkesempatan berkongsi sudut dengan anak-anak murid dari SMK. Abdullah 2. Program Kepimpinan Pelajar yang melibatkan para pengawas sekolah, pengawas Pusat Sumber dan ketua-ketua kelas dianjurkan di Kg. Pokas, Semporna.
Berlatarbelakangkan siraman hujan yang berkesinambungan sejak dari semalam, sedapat mungkin saya berusaha menghampirkan objektif sesi saya dengan anak-anak pelajar, sesuai dengan kondisi mereka yang terpaksa bergelut dengan keselesaan dan keletihan penangan hujan dan aktiviti yang padat.
Merencana hari esok adalah antara fokus yang saya berikan penegasan. Sebagaimana biasa, acapkali fungsi kepimpinan pelajar ditafsirkan dalam ruang lingkup yang agak sempit dan terhad kepada makna berorganisasi. Medan makna kepimpinan pelajar pada hemat saya adalah melampaui batasan berorganisasi semata-mata. Kepimpinan pelajar dalam konteks berorganisasi ini hanyalah sebahagian diantaranya. Kewujudan badan pengawas, pusat sumber dan institusi ketua kelas hanyalah sebagai platform untuk menzahirkan keupayaan mengelola dan mengorganisasi.
Tentu sahaja hasratnya untuk membolehkan pelajar berfungsi dalam organisasi, mengurus hubungan antara sesama rakan, dengan guru dan dengan diri sendiri. Tetapi yang jauh lebih penting adalah mengintegrasikan ilmu kepimpinan itu dengan diri sendiri. Bagaimana mungkin, ilmu kepimpinan itu berupaya memimpin dirinya memenuhi agenda besar menjayakan objektif peribadi.
Mengurus tugasnya sebagai pengawas tanpa menjejaskan rutin pelajarannya. Cabaran bahawa tugas kepimpinan pelajar bukan lesen untuk beralasan mencapai prestasi rendah dalam pelajaran sewajarnya ditimbang secara serius.
Berpaksikan positifisme, kesibukan tugas kepimpinan pelajar sewajarnya meningkatkan keupayaan individu pelajar yang terlibat untuk melangsaikan tugasan tanpa sekali-kali mengorbankan peluang pencapaian akademik yang menjadi kiblat perjalanan menjayakan kehidupan masa depan. Saya tegaskan kepada anak-anak ini, betapa orang lain sudah beranjak jauh mendepani cabaran masa depan, kurang bijaksana untuk kita terus terperosok menekuni perkara asas yang sepatutnya bukan lagi masalah. Begitu hasratnya, harap begitu juga pelaksanaannya.
- Posted using BlogPress from my iPad
Location:Semporna,Malaysia