Meniti hari-hari akhir tahun 2010 tentu sahaja mengundang kita untuk menghisab perjalanan kehidupan sepanjang 365 hari yang bakal berlalu. Mahu atau tidak, kita harus menyediakan ruang ‘berfikir’…..mentaakul setiap inci kehidupan kita, tentu sahaja dengan niat baik, ‘memperbaiki’ apa sahaja. Pada hemat saya, usah kita terlalu sinistik dan skeptikal menanggapi peralihan tahun sebegini.
Menghisab diri bukan sahaja untuk mengukur saiz kejayaan dan kegagalan yang kita capai sepanjang tahun semata-mata. Bukan juga untuk mencari kelemahan, jauh sekali memilih untuk menyesali setiap detik yang pernah kita lalui. Insan yang berjiwa dinamik, tentu sahaja akan menjadikan detik peralihan tahun ini sebagai titik penanda kepada banyak perkara.
Pada ketika seumpama inilah, kelihatannya sangat signifikan untuk kita menilai diri kita, keluarga kita, kerjaya kita, hubungan dengan teman-teman kita, hubungan kita dengan sekeliling dan hubungan kita dengan tuhan!. Tetapi…..harus diingat, penilaian itu sepatutnya menggunakan sudut pandang positif, agar setiap keputusan yang kita pilih tidak cenderung menerbitkan kerosakan pada diri kita apatah lagi kepada orang lain.
Sering bersarang dalam pemikiran saya, mengapa manusia berkecenderungan tidak pernah cukup dan puas dengan apa yang ada, khususnya dalam soal pemilikan harta, pangkat dan seumpamanya. Tetapi kelihatan amat ‘berkira’ dalam membuat kebaikan dan kebajikan. Mungkin nada pendapat saya ini kelihatan pesimistik!. Tetapi hakikat yang tidak dapat dinafikan…..dikala kita laju berlari ‘melakar’ kejayaan dan mencipta kecemerlangan, jangan lupa pada setiap ‘butir’ kegagalan yang pernah kita ukirkan pada mana-mana bahagian kehidupan kita.
Saya teguh meyakini bahawa catatan kegagalan yang pernah kita capai adalah ‘batu loncatan’ yang teguh dan tegap… ‘mengajar’ kita bagaimana untuk berjaya. Lantas, amat wajar…….untuk kita tidak terlalu merasa ‘rendah diri’. Bukan situasi yang janggal apabila seseorang berbangga kerana berjaya dalam apa-apa lapangan sekalipun. Tetapi tentu kebanyakkan kita merasa pelik dan heran, apabila kita menzahirkan rasa berbangga kita kerana berjaya mencapai ‘kegagalan’. Kelihatan lucu……
Kegagalan juga……adalah pengalaman yang cukup mendewasakan!. Lantas, pada hemat saya, disamping kita meraikan ‘kejayaan’ yang kita capai, jangan lupa ‘meraikan sama’ rentetan kegagalan yang telah ‘memanusiakan’ kita. Sudah tiba ketikanya…..untuk kita memberikan definisi yang ‘luas dan lapang’ tentang makna kejayaan dan kegagalan. Lainlah halnya……jika kegagalan yang kita alami itu adalah kerana kegagalan yang dirancang lantaran tiada perancangan!.
Saya mencari detik…..untuk membuat perhitungan dan penghisaban akhir sebelum berakhirnya sinaran cahaya mentari tahun 2010. Cahaya yang menyimbah kehidupan kita…….tentunya tidak berlalu begitu sahaja, tanpa tujuan dan cita-cita, sama seperti berlalunya kelam malam tanpa beribu persoalan yang melingkari setiap mimpi dalam kegelapan. Ayuh…..kita melihatnya bukan dengan mata sahaja…………..