Hari ini genap sebulan pemergian Ayah tercinta. Kehilangan besar itu masih terasa sungguhpun sudah sebulan Ayah meninggalkan kami. Ibu dan adik Karim sungguh terkesan dengan dugaan yang menimpa ini. Saya amat yakin.... segalanya ketentuan Ilahi dan tentunya sarat dengan hikmah dan pengajaran !. Hanya Allah s.w.t. yang tahu segala ketentuan ini, dan kita manusia hanya mampu akur dan redha dengan segala perjalanan hidup ini.
Secara peribadi, saya memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang sering mampir di blog saya ini, walau atas apa alasan sekalipun. Saya cuba menggagahkan diri untuk mencoret satu dua perkara sepanjang sebulan yang lalu, tetapi tahap kecairan minda untuk mencurahkan sesuatu amat sukar dicari. Hatta dengan hanya memasukkan gambar sekalipun terasa amat berat sekali. Saya mengakui kelemahan ini dan......tak tahu nak berkata apa lagi!
Sungguh sukar bagi saya membariskan segala mesej dan pengajaran yang saya dan keluarga perolehi sepanjang sebulan terakhir ini. Apa yang saya pasti sangat, keperluan untuk kita hidup bermasyarakat, sentiasa menghargai nikmat berkawan dan bersahabat, sentiasa memperbaiki dan mempertingkatkan amal kebaikan adalah antara elemen hidup yang mesti kita sentiasa laksanakan sebaiknya. Percayalah, pada akhir kehidupan kita, hanya segala amal kebaikan jua yang kita bawa bersama. Saya teringat perbualan dengan sahabat saya, Saudara Muariffin, suatu ketika yang lalu.... "segalanya ini urusan dunia sahaja". Hari ini saya menikmati penuh lazat makna kata-kata itu.
Lewat catatan ini, saya hanya menzahirkan iltizam untuk kembali mendepani segala apa sahaja!. Kembali menguliti realiti kehidupan sebagai seorang manusia, disamping sentiasa mengharapkan petunjuk dan redha dari Yang Maha Esa......menyusuri hari-hari mendatang. Insya-Allah, ........ hanya iringan doa, Moga Allah s.w.t. menempatkan ayah bersama orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Al-fatehah buat ayah tercinta!.
No comments:
Post a Comment