Saturday, March 7, 2009

Pemimpin Pelajar !

Pagi tadi saya memenuhi undangan rakan-rakan di SMK. Bum-bum untuk berbicara tentang kepimpinan pelajar kepada para peserta yang terdiri daripada Pengawas, Ketua-ketua kelas dan Pembimbing Rakan Sebaya ( PRS ). Sahabat saya, Cikgu George menghantar undangan sejak seminggu lepas. Lantas, saya berusaha membuat persediaan sebaik mungkin. Saya terima undangan atas beberapa premis asas.
Pertamanya, inilah peluang keemasan untuk saya berkongsi pengalaman dengan anak-anak pelajar, dan tentunya menghidangkan peluang yang cukup terbuka luas memberi perspektif baru dan berbeza menanggapi dunia pembelajaran dan kepimpinan.

Sepanjang lebih sejam berbicara, saya menekankan kepada para peserta kem kepimpinan ini beberapa perkara. Sudut pandang kebanyakkan pelajar melihat kepimpinan itu seolah-olah terpisah dari ‘business core’ mereka sebagai seorang pelajar. Kecenderungan kalangan para pengawas, ketua-ketua kelas dan PRS merasakan jawatan mereka itu sebagai satu ‘previllage’ atau keistimewaan. Lesen ini yang memungkinkan mereka melupakan tugas hakiki sebagai pelajar iaitu belajar. Saya menekankan kepada para peserta kem perlunya mereka menjadi pemimpin yang baik kepada diri sendiri sebelum menyediakan diri memimpin rakan-rakan yang lain.

Lazimnya, bila seorang pelajar menjadi pengawas, pelbagai tugasan sering diberikan kepada mereka. Tugasan itu pula kebiasaanya dilaksanakan semasa sesi persekolahan atau lebih tepat lagi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ( P&P ). Dari sekecil-kecil tugasan, membuat pengumuman sehinggalah tugasan menjaga lokasi tertentu semasa sesi persekolahan dan sebagainya, saya amat yakin tiada seorang gurupun yang menerima sebab ini sebagai lesen untuk mereka tidak berkesempatan belajar dan mengulangkaji pelajaran. Inilah antara penegasan yang saya berikan.

Tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar yang ‘nature jobnya’ seperti terasing daripada dunia P&P tidak harus menyusutkan kapasiti belajar mereka. Bagi saya anak-anak pelajar, rasanya perlu lebih berani bersedia berhadapan dengan pelbagai kesibukan ini, tetapi pada masa yang sama tidak pula sehingga mengabaikan tugas dan fungsi diri. Selain itu, saya tekankan juga bahawa sepatutnya mereka berbangga kerana dikalangan ramai pelajar, mereka antara yang terpilih dan diberikan amanah!.

Premis kedua saya memenuhi undangan teman-teman di SMK. Bum-bum adalah untuk meninjau perubahan yang berlaku disana. Maka saya manfaatkan peluang jemputan Saudara George ke SMK. Bum-bum. Memang banyak yang sudah berubah!. Tidak dapat saya nafikan juga, hasil 'perguruan dan pertapaan' daripada PresentationZen dan Slide;ology membuatkan saya terkinja-kinja hendak datang dan menggunakan bahan hasil dari 'pertapaan' itu. Terima kasih kepada Sifu, Dr. Amin atas ilmu baru menghasilkan powerpoint itu.


Tidak ketinggalan juga saya nyatakan kesanggupan dan iltizam saya disini bahawa undangan sebegini adalah peluang yang disediakan untuk kita membuat kebaikan. Lalu mengapa harus berdolak-dalik!. Pada saya, selagi mana orang beri kepercayaan, maka selayaknya kita tidak menghampakan........asal sahaja preskripsi tugasannya yang mampu kita tunai dan laksanakan!.

Kepada Cikgu George dan teman-teman, tahniah dan selamat menjayakan kem. Kepada anak-anak pelajar, selamat menimba ilmu dan pengetahuan....dan sekaligus mengamalkan!. Kepada kita semua, selamat menjayakan anak-anak Malaysia!. Hari ini tugas kita, untuk mereka.......esok, mungkin tugas mereka untuk kita!.

Friday, March 6, 2009

Aku tukang jaga!

Terkenang kisah……zaman kanak-kanak!. Sehabis menghantar anak-anak ke sekolah, saya terus menekan lemah pedal minyak my vios saya ke kampong Kabogan. Alah dekat rumah saya aja……bezanya cuma…rumah saya dekat daratan dan kampong Kabogan itu dekat tepi laut. Sekadar menukilkan kisah silam…….yang kini terasa sungguh nilai dan manisnya, saya sengaja mencari diri yang hilang itu ke lokasi dimana ianya pernah benar-benar berlaku suatu ketika dahulu.

Petang itu juga saya berjalan dengan anak ketiga saya, Nur Anis Ilyana. Seorang saudara sekampung menegur, ada gerangan apa yang membawa saya ke situ petang itu?. Saya hanya membalas pertanyaannya dengan hamburan senyuman dan tawa. “Tak ada….saja jalan-jalan”, demikian saya menjawab lemah dan bersahaja. Saudara sekampung itu, melanjutkan bicaranya, “Baguslah juga begini…….bolehlah juga anak-anak kita saling mengenali……”. Sekali lagi saya hanya menjawab dengan tawa pendek dan barisan gigi besar saya!.

Sambil berjalan berpimpin tangan dengan anak saya, Eying…..bertanya, siapakah gerangan perempuan itu tadi. Saya hanya menjawab pendek, “Makcik Moning!”. “Keluarga kita ka tu….pak?”, anak saya bertanya lanjut. “Ya!” demikian ringkas saya menjawab pertanyaan anak saya itu. Bagai memahami ‘interior monolog’ yang sedang saya alami, anak saya tidak bertanya lanjut. Kami berjalan beriringan, sambil saya perasan anak saya berjalan dengan cukup berhati-hati meniti jambatan yang kukuh binaannya sebenarnya, cuma lantainya saya yang tidak disusun rapi dan kemas, menyebabkan ada yang kelihatan berlubang dan seumpamanya.

Lubang itu yang menyebabkan anak saya kelihatan berjalan dengan cukup berhati-hati. Bimbang termasuk kaki dalam lubang jambatan itu agaknya!. Sambil itu saya melayan perasaan saya, mengenang kisah lebih 30 tahun yang lalu.

Di jambatan inilah…….rasanya saya mula mengenali makna berkawan, ikut perintah abang ( istilah modennya...dibuli ), tukang jaga, tukang ambil kuih, pembawa berita dan pelbagai lagi tugas zaman kanak-kanak. Kawan-kawan sebaya saya kini hanya tinggal seorang yang menetap di kampong. Yang lain entah dimana bertebaran di muka bumi ini. Ada juga seorang dua yang terkadang muncul pada masa hari raya puasa. Itupun…..satu dua hari saja di kampung, lepas itu balik ke lokasi sarang masing-masing.

Sambil mengimbas wajah teman-teman sepermainan yang kini entah ke mana perginya, saya tersenyum dan seperti hendak ‘join’ sama melihat anak-anak kecil mandi laut. Wajah mereka memang saya tidak kenal sudah. Tetapi saya yakin ada diantara mereka itu, anak, cucu atau mungkin anak saudara teman-teman sepermainan saya. Saya masih ingat lagi, pada situasi seperti inilah saya akan ditugaskan oleh abang saya untuk ‘berjaga’. Pada ketika itu, suatu kelaziman yang berlaku dikampung, antara kematian yang sering berlaku ialah mati lemas. Tidak heranlah apabila ibu mengetahui kami mandi laut, sekejap lagi ibu akan menyusul ke jambatan siap menghunus batang penyapu. Ibu melarang kami mandi laut, mungkin bimbangkan mati lemas......

Dalam melihat gelagat anak-anak kampong mandi laut di jambatan ini, hati saya seolah-olah ‘tersenyum’ mengenangkan pengalaman masa saya seperti mereka. Apa tidaknya, oleh kerana saya…adik, maka abang lebih berkuasa dari saya. Apa lagi…..saya tidak dibenarkan mandi laut kerana ditugaskan menjaga ‘seluar – baju’ abang dan kawan-kawannya, yang ditanggalkan semasa mandi laut. Strateginya mudah, seluar dan baju itu tidak boleh dibawa mandi kerana bimbang ia basah dan takut diketahui oleh ibu. Pada ketika abang dan kawan-kawannya, seronok bermandi laut, saya hanya mampu berliur menyaksikan mereka terjun dari jambatan sambil kekadang beradu kehebatan siapa yang paling tahan nafas menyelam. Yang lucunya, kekadang abang yang mengingatkan saya agar tidak alpa membuat laporan jika 'melihat' ibu dan batang penyapunya tiba-tiba muncul.

Sebab itulah juga, salah satu preskripsi tugas saya adalah ‘melaporkan dengan segera’ sekiranya ibu datang dengan batang penyapunya .Jika silap perhitungan, dan saya tidak ‘bertugas’ dengan cemerlang sebagai tukang jaga, alamat saya dan abang akan dihinggapi batang penyapu itu. Inilah yang saya maksudkan sebagai ‘tukang jaga’. Pada zaman moden ini agaknya tugas saya itu adalah tugas unit semboyan!. Tetapi anda percaya atau tidak.....pengalaman itulah agaknya yang menerbitkan keinsafan kepada diri saya agar belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi manusia yang berguna.

Jumpa lagi....!
( Entry ini sepatutnya diup-load pada 25 Februari yang baru lalu ).

Thursday, March 5, 2009

Godaan Planet Zuhal !

Planet Zuhal dilaporkan sesuai untuk dicerap pada 08 Mac ini, kerana berada pada kedudukan yang berhampiran dengan bumi. Saya dapat maklumat ini dari sebuah laman web berkenaan planet Saturn ini.
Insya-Allah.....jika berkesempatan dan keadaan cuaca juga mengizinkan, saya akan mencerap dengan telescope amatur saya tu ( Orion SpaceProbe 130EG ).

Apa yang menarik perhatian saya dalam laman web berkenaan adalah penerangan lebih detail tentang bulan planet Zuhal ini.

Gambar yang saya paparkan ini sebenarnya diambil oleh Robot Angkasa Cassini yang sedang berada di orbit planet Zuhal.
Gelang Zuhal itu rupanya beberapa nama iaitu Gelang D, Gelang C, Gelang B dan Gelang A. Manakala gelang yang mempunyai jejari lebih besar itu dikenali sebagai Gelang E, Gelang G dan Gelang F. Setiap gelang itu pula siap diterangkan saiz dan komposisinya.

Planet zuhal ini juga merupakan planet yang paling banyak bulan. Dalam sistem suria kita, planet bumi hanya mempunyai 1 bulan sahaja ( la....kita boleh tengok setiap malam tu! ), tetapi planet zuhal mempunyai 12 buah bulan.
Antara nama-nama bulan itu ialah Pandora, Mimas, Enceladus, Tethys, Telesto, Dione, Rhea ( yang lain saya akan nyatakan nanti..... ). Saya bertanya rakan-rakan guru sains di sekolah saya, mengakui mereka sekadar tahu bilangan bulan planet zuhal....tetapi tidak tahu nama-nama bulan itu, apa lagi melihatnya seperti gambar di atas. Gambar kedua dalam entry ini adalah antara rupa wajah bulan planet zuhal itu. Seronok juga dapat memberi info kepada rakan-rakan guru yang lain.
Bagi saya yang berlatar belakangkan pendidikan sastera, astronomi ini menghidangkan terlalu banyak cerita misteri...... Ayuh kita manfaatkannya!

New Proton Perdana V6.....


Ini wajah 'replacement' model Proton Perdana V6. Saya dapat inipun dari laman web kereta yang sering memaparkan model-model baru kereta di Malaysia. Tak taulah benar tidaknya.... Tapi cantik juga....... Harganya tentulah sepadan jugakan ! Imagine it!.

Wednesday, March 4, 2009

Kini...kembali !


Alhamdulillah.......kini blog saya akan berfungsi dengan baik semula. Saya minta maaf kepada semua pengunjung blog ini, buat beberapa ketika tiada new post kerana masalah teknikal setting blog. Now....everthing is in good condition. I'll be back......so many articles i'll post. Just wait!. Yahoooooooo......................!

Saturday, February 21, 2009

Kursus Bina Negara Pelajar

Saya sekarang sedang berada di SMK. Merotai, Tawau untuk mengendalikan kursus Bina Negara Pelajar. Para peserta terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah ini. Tengah pening sekarang ni, kalau ada sesiapa yang dapat bantu, blog saya tidak dapat diupdated dengan new post kerana paparan create post hilang button menunya. Saya dah cuba....pelbagai cara tapi tak berjaya! Please...!

Thursday, February 19, 2009

Technical Error!

New post tak dapat dimasukkan! Ada sedikit masalah teknikal dengan setting blog saya. Now....sedang diusahakan untuk diatasi!

Tuesday, February 17, 2009

Virtual Block !

Sukacita saya menzahirkan keazaman untuk menjadi blogger dengan cara sendiri. Biarpun hanya tinggal saya seorang yang berkunjung…….saya tidak akan patah semangat, jauh sekali untuk berniat tidak lagi memanfaatkan laman siber ini!. Selemah-lemah usaha……..saya tidak akan membiarkan hari-hari yang berlalu tanpa saya melakukan sesuatu……paling tidak untuk diri, isteri dan puteri-puteriku!.
Dan, laman siber ini salah satu daripadanya!. Saya berada di Kundasang selama 3 hari untuk bersama-sama dengan sahabat-sahabat menjayakan satu program, dan hanya kembali pada pagi isnin dan menyambung tugas disini pula.

Dengan citra penuh sukacita saya menyematkan rasa terima kasih kepada para pengunjung kerana kesudian menyingsing hijab, menjengah laman ini, tanpa kisah apapun niatnya!. Dengan rasa rendah diri juga…..…..saya menghidangkan bicara hati dari alam fikir dan daerah kefahaman dan pengalaman sendiri untuk saya kongsikan dengan sesiapa sahaja di planet bumi ini!.

Sekadar menyatakan nama, tanda ingatan dan penghargaan kepada Dr. Raj, Pn. Waani, Cikgu Mazila, Edwid, Pn. Junaitah, Pn. Shaliliah, Wilma, Pn. Lee Chai Ying dan gadis pendiam Raynee. Di alam siber ini sekali lagi saya mengucapkan terima kasih atas curahan pengalaman, perkongsian kisah hidup dan sudut pandang setiap ahli kumpulan 8 ini. Hanya satu yang saya amat pasti…….bersama mereka pengalaman saya bertambah!.

Sebagaimana kebiasaanya, pengalaman mengendalikan LDK ini banyak membenihkan perpektif dan pendekatan baru dalam menanggapi sesuatu perkara. Tetapi pada kali ini…..saya nak point kepada apa yang saya panggil sebagai ‘virtual block’ atau ‘halangan maya’. Ada kecenderungan dikalangan kita untuk lebih berani membuat keputusan yang membawa kerugian, kerana lebih bimbangkan ‘virtual block’. Sedang kita sepatutnya lebih berani membuat keputusan yang membawa kebaikan atau positif walaupun mungkin saiz ‘virtual block’ yang kita bayangkan itu lebih besar, namun peluang itu jangan disia-siakan.

Ambil situasi dalam simulasi, apabila kita diberi cek kosong oleh seorang dermawan dan diminta untuk menuliskan sendiri nilai cek kosong itu, kecenderungan kalangan kita ialah lebih mempersoal perkara lain seperti kenapa dermawan itu beri cek kosong?, siapa dermawan itu?, apa motifnya memberi duit? dan pelbagai lagi kebimbangan lain yang akhirnya menjurus kepada keputusan negatif dan tidak mahu mengambil cek kosong itu. Lebih bimbangkan perkara-perkara negatif dan membawa kemunduran inilah yang saya maksudkan sebagai ‘Virtual Block’!. Sungguhpun sekadar andaian, yang belum lagi pasti benar tidaknya, tetapi seringkali keputusan lebih memilih 'tidak' hanya kerana bimbangkan 'virtual block' ini.

Kenapa kita tidak lebih berani mengambil cek kosong itu……dan jika bimbangkan ‘virtual block’ pun, rencanakan dengan baik pengurusan dan perjalanan duit dari cek kosong itu. Mungkin dengan cek kosong itu kita mempunyai sangat banyak peluang lain untuk membuat kebaikan dan manfaat bukan sahaja untuk diri dan keluarga, malah juga untuk agama, bangsa dan Negara!.

Kita mungkin pernah berhadapan dengan situasi yang memerlukan kita membuat keputusan atau tindakan. Kecenderungan kita membuat keputusan pastinya akan dipengaruhi oleh pengetahuan sedia ada kita atau pengalaman masa lalu kita sendiri atau mungkin juga pengalaman orang lain. Sudah tentu setiap keputusan atau tindakan yang kita buat, dipengaruhi oleh saiz risiko yang mungkin kita terpaksa hadapi.
Kecuali bagi keputusan dan tindakan yang nyata risiko dan akibatnya, sebenarnya kita banyak dipengaruhi oleh 'virtual block' ini. Buat diri saya, rasanya kita patutnya mengurangkan 'virtual block' yang belum tentu benar tidaknya, saya menganjurkan pada diri saya sendiri dan sesiapa sahaja, marilah kita sedia dan berani berdepan risiko jika hanya 'virtual block' yang menjadi halangan. Tak tau lah.........!

Monday, February 16, 2009

Artikel Tanpa Nama !

Hari saya hari ini bermula dengan serba-serbi lancar!. Hati saya terasa girang dan penuh berbunga-bunga ceria apabila memikirkan perkara ini!. Tidur hanya sekitar jam 2.30 pagi tetapi bergegas bangun setelah dikejutkan sahabat saya, Saudara Jairy, seawal jam 3.55 pagi. Selesai berkemas sempat menjenguk sahabat di bilik sebelah……..untuk mengucap ‘selamat tinggal’ sungguhpun masih dalam ‘pelayaran’, saya dan ‘seteru rapat’ saya, saudara Yani bergegas menaiki pacuan empat roda yang dipandu saudara Jairy meluncur laju membelah keheningan subuh pergunungan kinabalu. Entah bila saya tertidur, tetapi sedar-sedar sudah berada diperkarangan Masjid Negeri, Kota Kinabalu. Jam ditangan saya menunjukkan jam 5.33 pagi. Sejurus berjemaah solat subuh, kami bersarapan di Restoran Rohayu, sebelum kemudiannya bergegas lega menuju ke Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Seketika berada di airport ini, saya bertemu dengan sahabat lama…Saudara Hermany. Saya tumpang gembira mendengar cerita kejayaan kawan-kawan!. Selepas check-in, saya ‘menghunus kamera’ untuk menangkap apa sahaja objek…..yang saya sendiripun tak tahu untuk apa!. Saya hanya fikir…..nanti saya carilah gunanya!. Dalam pesawat Airasia, saya duduk di tepi tingkap paling hadapan sekali!. Mata saya galak melihat gelagat pramugari dan pramugara Airasia bertugas, mengatur penumpang, memeriksa pintu, membuat pengumuman dan yang paling menarik perhatian saya, mengira bilangan kami……penumpang pesawat Airasia pagi ini. Sebenarnya, ini kali kedua saya menaiki pesawat Airasia dan kesempatan mendapat tempat duduk paling hadapan memberi peluang untuk saya melihat ‘kerja-kerja rutin’ krew kabin Airasia. Dengan pesawat Mas, tiada peluang melihat gelagat mereka kerana kita selalunya duduk di kelas ekonomi sahaja!.

Semasa saya menulis catatan ini, saya baru sahaja habis mengajar anak murid saya di kelas 1D. Saya katakan hari saya hari ini serba-serbi lancar……kerana segalanya kelihatan berjalan bagai yang direncanakan!. Siapa tahu…….semasa berkira-kira nak menaiki apa pulang ke Semporna, seorang lagi kawan, Saudara Ikram pula dalam perjalanan ke Semporna. Apa lagi……kami yang memang mengantuk dan hanya menanti untuk disorong bantal……terkinja-kinja menaiki Toyota Rav4nya untuk menamatkan perjalanan panjang bermula jam 4.00 pagi tadi ke Semporna. Saya zahirkan rasa gembira….kerana dalam kepayahan itu……segalanya kelihatan ‘sukses dan enggak ada problema’. Puas hati kerana bukan sahaja berjaya melangsaikan tugasan saya semalam, malah tugasan hari inipun nampaknya juga mengikut skrip!. Insya-Allah sekembali dari sekolah jam 5.30 nanti, melepaskan kerinduan pada anak-anak, Nur Anis Aishah, Nur Anis Sofiah, Nur Anis Ilyana dan sicomel Nur Anis Azzyati….dan ummi mereka, dan merancang untuk menyahut cabaran kawan yang ingin menebus kekalahan mereka di gelanggang badminton minggu lalu…he..he…!.

Saya memberi tahu rakan-rakan bloggers, catatan saya tentang kursus yang kami hadiri bermula jumaat lalu kebiasaanya akan dimasukkan hari ini. Saya menyatakan demikian kerana bimbang coretan itu akan hilang bersama kesibukan yang tak pernah sudah!. Tetapi saya memilih untuk melakukan sedikit keluar-biasaan lewat artikel ini……..kerana bagi saya, apa yang berlaku pada hari saya hari ini….memang sedikit luar biasa!. Hanya Allah yang tahu…..hikmah disebalik segalanya!. Saya sendiri tidak tahu apa nama situasi ini. Saya memilih untuk menamakan artikel ini ‘Tanpa Nama!’ kerana saya sendiripun tidak tahu untuk menamakannya!. …….Saya hanya meneguhkan keyakinan, buat sahajalah……dengan niat betul dan ikhlas apa yang ingin kita buat……yang lain itu akan datang kemudiannya……tanpa kita sedari, dan mungkin dalam bentuk…….’tanpa nama’ seperti ini. Terasa benar nikmat hadirnya 'kawan-kawan'.........menyebabkan saya seperti menghitung diri, aku inikah kawan yang baik?, yang bersama dikala senyum dan menitiskan air mata. Nikmat puas hatinya….hanya Allah s.w.t. yang tahu! Insya-Allah, malam nanti, sekembali dari bermain badminton, saya akan cuba mengagahkan diri menukilkan catatan bersama peserta kumpulan 8!. Jumpa lagi....!

Thursday, February 12, 2009

Planet Zuhal !

Lebih kurang pada jam 7.45 malam semalam, saya sempat untuk bermain badminton dengan rakan-rakan sekelab. Sungguhpun badan terasa lemah dan kurang bermaya lantaran kurang tidur agaknya beberapa hari mutakhir ini. Begitupun semalam saya berpasangan dengan Saudara Jais berhadapan dengan Cikgu Rosley dan Cikgu Amir Rahman. Perlawanan cukup sengit, sehingga membawa ke mata deus, bagi kedua-dua set. Namun, sungguhpun tercungap-cungap, nafas bagai nak hilang, kami memenangi perlawanan itu. Ahhh.......cukup puas hati. Puas hati kerana mampu mengerah tenaga dalam kepayahan!. Bermain 2 set sebelumnya, tapi masih mampu mencatatkan kemenangan sungguhpun berhadapan dengan lawan yang terkenal sebagai 'kutu gelanggang'. Sehabis main, pihak lawan memberi amaran awal, misi menebus maruah dalam pertemuan akan datang, insya-Allah pada hari isnin nanti....!.

Sesampai di rumah, saya terus 'on' laptop untuk melawat laman falak-online, nak lihat apa 'event' yang ada di angkasa malam tadi. Sehabis sahaja mandi dan melakukan kerja-kerja yang patut, saya duduk menghadap komputer......rasa penat terasa tiada bila 'diberitahu' pada jam 11 malam tadi planet zuhal boleh dilihat 5 darjah ke kiri bulan. Saya terus sahaja mengangkat teleskop ke laman rumah dan mula mendongak ke langit untuk melihat kalau-kalau apa yang dimaklumkan benar berlaku....sekali lagi saya tak berjaya!. Biasan cahaya bulan menyebabkan sukar untuk melihat objek lain di angkasa. Lantas, mematikan niat untuk melihat zuhal, dan beralih untuk meneropong apa-apa sahaja yang ada di langit.

Saya mencari di laman web yang biasa dilawati, gambar zuhal dan menemuinya di laman langkawi observatory!. Ok la....sikit. Insya-Allah, eksplorasi angkasa ini semakin menarik. Ada beberapa lagi gambar bulan penuh yang terbaru saya ambil beberapa hari yang lalu. Memang cantik! Saya ingat nak 'edit' dahulu, barulah saya paparkan disini. Jumpa lagi!

Wednesday, February 11, 2009

Seketika itu di Pantai Tinagat......

Petang ahad yang baru lalu, saya sekeluarga berkesempatan melalui jalan pantai Tinagat. Pantai Tinagat ini bukan asing bagi saya. Walaupun saya tidak menetap atau dilahirkan disini, tetapi zaman kanak-kanak saya mempunyai secalit pengalaman manis disini.
Bila saya dewasa dan sedar kini, barulah saya terfikir dan terdetik di hati, rupa-rupanya kehidupan kita kini sudah cukup berubah, sepesat berubahnya lanskap pantai Tinagat ini. Sekadar mengimbas kembali kisah lama, pada awal tahun 70-an dahulu, mak dan ayah menyara kehidupan dengan mengamalkan pertanian pindah dan padi bukit. Sudah tentulah sumber pendapatan hasil pertanian yang paling popular pada masa itu adalah bertanam jagung.
Masih segar diingatan saya, rumah kami di kampung Tarapuli, yang dibina ayah secara bertingkat dan tingkat bawah dijadikan stor jagung tua yang sudah dituai. Apabila buah jagung sudah habis dituai, maka akan diadakanlah pula gotong-royong dikalangan orang kampung untuk meleraikan biji jagung tua dari tongkolnya. Bila giliran kebun ayah digotong-royong, selalunya ayah akan adakannya secara pertandingan.
Stor jagung tua rumah kami pada ketika itu mempunyai 2 fungsi. Atapnya yang diperbuat daripada daun nipah, boleh dibuka untuk menjadi pelantar jemuran terbuka!. Apabila hujan pula, atap itu ditutup untuk menjadi stor pula. Apa lagi ketika gotong-royong, semua orang kampung berkumpul di rumah kami, masing-masing datang dengan alat untuk meleraikan bijirin jagung dari tongkolnya. Istilah tempatannya alat ini dipanggil 'li-isan'. Pertandingan diadili berdasarkan siapa yang paling banyak dan paling cepat.!.
Hari ini barulah saya sedari bahawa tujuan pokoknya pertandingan itu diadakan adalah untuk 'mempercepatkan' proses meleraikn jagung dari tongkolnya, dan membolehkan jagung itu dijual terus ke kedai. Proses menjual jagung inilah saya mempunyai kisah silam bersama pantai Tinagat. Pada ketika itu, hendak pergi ke Tawau untuk menjual jagung tersebut, samalah seperti kita pergi keluar negara pada hari ini. Sangat jarang kita dapat peluang sebegini.
Menjual jagung yang berguni-guni banyaknya itu diangkut dengan bot besar ke Tawau. Bayangkan sendiri, pada ketika itu penuh bot besar itu dengan guni bergaris hijau. Satu kelurga pula ikut serta beramai-ramai ke Tawau. 'Shopping sakanlah' kononnya pada masa itu. Saya masih ingat lagi pada masa itu, terasa perjalanan ke Tawau dari Kampung Tarapuli itu terasa amat jauh, sehingga malam barulah tiba di kawasan Pantai Tinagat.
Di Pantai Tinagat inilah selalunya, bot besar ini berlabuh, sementara menunggu hari esoknya untuk mudik ke pelabuhan di bandar Tawau, dan memunggah hasil jualan jagung yang berguni-guni itu. Melankoliknya, pantai Tinagat ini kerana disinilah ayah membawa kami untuk mandi disampingkan mengambil air untuk bekalan memasak di bot sepanjang berlabuh di Tawau ini. Apabila pulangpun akan singgah dahulu di pantai ini untuk mengambil bekalan air sebelum memulakan perjalanan panjang dan memboringkan balik ke kampung halaman.
Demikian, kisah cintaku dengan pantai Tinagat, saya tidak pasti berapa umur saya pada ketika itu. Tetapi pengalaman itu cukup segar dalam ingatan saya. Hari ini pantai itu sudah banyak berubah!. Tetapi pengalaman mandi-manda di pantai Tinagat, dengan biskut 'pistol-pistol' tersemat digenggaman tangan, antara catatan pengalaman yang rasanya mendewasakan saya, belajar menanggapi 'harga' sebuah kemajuan dan pembangunan, dan keperluan kita 'mensyukuri' nikmat yang kita rasai kini.
Tanggungjawab berat kita hari ini, mewariskan pengalaman begini kepada generasi hari ini, agar mereka juga dapat 'rasa' dan seterusnya tahu 'menilai' luasnya daerah kemajuan dan pembangunan dan meletakkan 'harga' yang perlu dilangsaikan untuk mengecapinya!. Sambil memandu menyusuri jalan dan sekali sekala turun untuk mengambil gambar, semua kisah ini saya ceritakan kepada anak-anak saya. Mungkinkah aku yang sudah berubah? atau pantai Tinagat yang perlu diubah?. Terima kasih.....pengalamanku !.

Monday, February 9, 2009

Gerhana Bulan Penumbra!

Saya dan adik Karim kini sedang berada dilapangan untuk mencerap bulan penuh dan gerhana bulan penumbra yang dijangkakan berlaku pada jam 10.00 hingga 10.30 malam ini. Saya sendiripun tidak tahu bagaimana konsep gerhana bulan penumbra.


Tetap menurut Falak online.com, pada 9 Feb. nanti ( hari ini la tu ), Bulan akan melintasi bayang-bayang penumbra Bumi dan menghasilkan fenomena Gerhana Bulan Penumbra. Bayang-bayang Bumi mempunyai 2 bahagian, iaitu umbra (bahagian paling gelap) dan penumbra (bahagian kurang gelap dan berada di sekeliling umbra).

Walaupun ia gerhana penumbra, namun Bulan akan melalui agak hampir dengan kawasan umbra. Kita akan dapat lihat Bulan kelihatan sompek sedikit di satu satu sisinya. Bulan mula memasuki bayang-bayang penumbra pada jam 8:38:46 pm Waktu Malaysia. Kemuncak gerhana akan berlaku pada jam 10:38:15 PM Waktu Malaysia dan tamat pada jam 12:37:40 PM Waktu Malaysia.

Disebabkan kesan bayang-bayang penumbra hampir mustahil untuk dilihat dengan mata kasar, kita hanya dapat melihat kesannya apabila Bulan menghampiri kawasan umbra di antara jam 10:00 PM hingga 11:20 PM Waktu Malaysia. Perkiraan ini adalah ramalan sahaja.Ia juga bergantung kepada keadaan cuaca setempat.


Tetapi sehingga habis artikel ini ditulis, gerhana bulan penumbra tu tak nampak lagi...! Tengah malam agaknya kot! Memang hajat nak berjaga malam ini......... merakamkan fenomena yang mungkin hanya kali ini kita melihatnya!