Showing posts with label Pendapat. Show all posts
Showing posts with label Pendapat. Show all posts

Thursday, April 4, 2013

Transisi 2




Hampir benar, pada pengamatan dan pengalaman yang saya lalui, adalah sukar untuk membuat keputusan bagi diri sendiri berbanding menentukannya bagi pihak orang lain. Apatah lagi jika implikasi keputusan yang bakal di ambil itu berskala besar kepada persoalan masa depan, atau bakal menentukan untung nasib diri, keluarga dan seumpamanya. Meskipun terdapat dengan mudah dan meluasnya panduan bagaimana membuat keputusan dalam detik transisi, namun seringkali andaian-andaian 'nakal dan bernada pesimistik' menguasai sarang pemikiran.
Mahu atau tidak, kita harus 'segera' kembali normal dan bingkas membuat keputusan secara bijaksana. Suatu yang pasti, kita harus membuat keputusan secara pasti, meskipun keputusan itu masih tidak pasti!. Lantas, kita harus kembali.......
Posted using BlogPress from my iPhone

Location:Jalan Pantai Kampung Selamat-Kampung Mentelip,Semporna,Malaysia

Sunday, December 2, 2012

Diluar kebiasaan !

Keluar dari kebiasaan!. Mungkin kebanyakan kita merasakan ayat itu tidak terlalu asing.Benar jika kita melihatnya atas makna ayat semata-mata. Namun jika kita memindahkan makna ayat ini kepada perlakuan dan tindakan, rasanya....ramai kalangan kita akan berfikir lebih dari sekali.


Obligasi dari makna perkataan ini meliputi daerah yang cukup luas.
Dapatkah kita bayangkan betapa sukar seseorang mengubah rutin dan kebiasaan dalam kehidupannya? Secara mudah, rutin sebagai seorang guru, menyediakan rancangan pengajaran, mencari bahan, mengajar, menganalisis pencapaian pelajar, merangka pelan pemulihan, penggayaan atau penyelesaian konkrit terhadap masalah pelajar dan seumpamanya. Semua itu rutin dan kebiasaan seorang guru.
Namun timbul persoalan, adakah perkara tersebut sudah memadai untuk tugasan sebagai seorang guru?. Jika jawapan kita adalah ya, maka sebenarnya guru berkenaan bukanlah seorang guru yang berfikir di luar kotak. Guru yang berfikir diluar kotak adalah guru yang kaya penyelesaian dan inisiatif untuk membantu anak-anak muridnya melakar kejayaan. Mungkinkah begitu, ianya perlu kupasan yang lebih mendalam.....

Posted using BlogPress from my iPhone

Location:Jalan 4/118C,Petaling,Malaysia

Wednesday, November 28, 2012

VLE....















Posted using BlogPress from my iPhone

Tuesday, November 27, 2012

Kebaktian....



Kala insan bertembung
kesulitan.......
Kala insan disapa
Kesukaran.....
Kala insan didakap
Kesengsaraan.....
Kala insan bergelut
Kepayahan.....
Disanalah terbit
Segala-gala.....rupa
Rupa manusia
Kecewa.....berjiwa kerdil
Rupa manusia
Redha.....berjiwa besar
Rupa manusia
Sabar.....berhati segar
Meski derita tidak berpinggir
Namun masih....
Gagah mengharung duga
Setia berulit sepi
.................
Hari-hari menapak kaki
Meski tidak pasti.....
Paksinya tak berganjak.....
......walau seinci....
Hidup mesti dinikmati
Kerana.....
Hidup cuma sekali
Biarlah hayati ini
Sarat dan kaya bakti!

Posted using BlogPress from my iPhone

Monday, April 2, 2012

Menyumbang IV


Peranan saya adalah menyumbang dan memberi perkhidmatan sebaik yang mungkin. Jika ada yang berubah kerana sumbangan yang telah saya lakukan….ianya hanyalah bonus dari perkhidmatan saya!". Anda mungkin pernah mendengar kata-kata sedemikian, tidak kiralah oleh sesiapapun. Anda juga mungkin boleh membayangkan konteks orang yang melafazkan demikian. Tentu sahaja kata-kata ini terbuka untuk dibahaskan, namun tanpa perlu berpolemik panjang rasanya saya cenderung untuk memilih jalan pragmatik dan realistik untuk melihatnya. 

Pernah satu ketika saya berkesempatan untuk berbicara dan memberi motivasi kepada sekumpulan anak-anak murid yang akan menduduki peperiksaan awam. Saya sudah lupa di sekolah mana saya mengutarakan kefahaman ini, namun saya tegaskan kepada anak-anak murid berkenaan bahawa saya tidak datang untuk membawa super tonik yang dengannya sekelip mata sahaja kita menjadi manusia cerdik dan pandai secara tiba-tiba selepas sahaja saya menyampaikan sesi bicara itu. 

Agaknya sudah menjadi stigma kepada masyarakat kita dengan acapkali melihat dan berfikir seperti itu. Apabila ada penceramah motivasi dijemput, cenderung membayangkan bahawa penceramah berkenaan akan membawa atau memberi sesuatu tips dan panduan yang luar biasa untuk diguna dan diamalkan menjelang peperiksaan awam. Sedangkan realiti yang cuba untuk tidak diakui oleh sang pelajar ialah betapa usaha yang telah dijana selama ini mungkin tidak memadai untuk mencapai status 'berjaya' dalam peperiksaan. Demikian juga dalam organisasi, apabila hadir seseorang pemimpin organisasi yang baru, pasti akan lahir telahan dan jangkaan tertentu yang akhirnya mengarah kepada bersedia menerima sesuatu yang luar biasa daripada sebelumnya. 

Mungkin tidak menjadi bahan bual bicara andai inisiatif pemimpin organisasi berkenaan menepati jangkaan dan telahan anggota organisasi berkenaan. Bayangkan pula bagaimana sebaliknya, andai jangkaan dan telahan orang bawahan dalam organisasi berkenaan tidak benar berlaku. Tekanan mungkin wujud dari dua aras berbeza. Tekanan kepada pemimpin itu sendiri untuk berusaha menepati apa-apa yang dipersepsikan orang bawahan sebelumnya. Tekanan ini jika silap perhitungan dan pertimbangan boleh mengundang natijah yang dahsyat kepada organisasi. Pada aras yang berbeza, jangkaan dan telahan dikalangan orang bawahan, andai tidak benar sebagaimana mereka ramalkan juga menjadi penanda aras. Tentu sukar untuk mendapatkan sokongan dan penglibatan mereka andai kita mengambil mudah perkara ini.

Sebab itu, benar kita sifu, selayaknya kita berperanan untuk memberi sumbangan kepada organisasi. Berkhidmat dengan sepenuh jiwa raga tanpa perlu untuk memberikan harapan yang tinggi menggunung kepada sesiapapun tanpa mengira tahap dan pangkat. Rasanya pada mana-mana organisasi, preskripsi tugas dan peranan itu pada keseluruhannya adalah sama. Kandungan tugasan itu masih dalam ruang lingkup yang sama. Sekali pandang kelihatannya tiada apa yang boleh diinovasikan lagi. Tetapi namanya berkhidmat dan memberi sumbangan yang terbaik, maka akan tercetuslah inovasi-inovasi tertentu pada organisasi dengan matlamat umum untuk memudahkan pengoperasian organisasi dan meningkatkan keberkesanan fungsinya.

Pendekatan 'Push the right button' tentu sekali harus menjadi motto, sehingga sentuhan kita dalam organisasi itu benar-benar dirasai sekalipun masih dalam ruang lingkup tugas yang sama. Rasanya inilah perbezaan utama yang sepatutnya cenderung berlaku dalam mana-mana kepimpinan organisasi. Cuma, memilih 'the right button' itu mungkin memerlukan penaakulan dan ilmu tertentu. Sebab itu, amat wajar andai kita memilih pendekatan sederhana dalam serba serbi disamping memberi sumbangan dan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi. Natijahnya, kita santai menjalankan tugas tetapi sentiasa fokus menyudahkan tugasan tersebut. Agaknya begitu!. 

Saturday, March 31, 2012

Refleksi Earth Hour......

Sungguhpun sambutan Earth Hour di kampung tidaklah seperti mana sambutan Earth Hour di bandar-bandar besar, namun saya berpakat sekeluarga untuk menyahut gesaan Earth Hour ini. Positifnya, mungkin pada kali ini kefahaman pada peringkat keluarga kecil saya sahaja. Bergelap sahaja jika di kampung ini mungkin agak kurang terasa. Maklum sahaja masih banyak kawasan dalam kampung ini yang sememangnya masih bergelap. Belum lagi cerita bekalan elektrik yang acapkali terputus. Rasanya, di kampung sememangnya sering diraikan Earth Hour ini. Cumanya....orang kampung tentu sahaja kurang mengetahui apa itu Earth Hour dan tanpa sedar mereka sudah mendahului WWF agaknya dalam hal menjimatkan tenaga dan menyelamatkan bumi ini.


Bergelap selama sejam ini mungkin hanya bersifat simbolik pada sesetengah orang. Ketika ini, disini...kelihatannya hanya sebuah rumah yang menyertai masyarakat dunia lainnya mengimarahkan idea dan gagasan Earth Hour ini. Dapatkah anda bayangkan, berapa juta kos penjimatan tenaga yang berjaya dilakukan hanya dengan bergelap selama sejam ini. Mesej ini mungkin bersifat jangka pendek untuk menghantar mesej menyayangi bumi yang semakin tercemar ini. Bayangkan pula, andai gesaan Earth Hour ini difahami oleh masyarakat keseluruhannya. Rasanya inilah nilai sebenar gesaan Earth Hour ini. Masyarakat dunia secara kolektif dan penuh kesedaran wajar mengambil tindakan yang proaktif untuk menyelamatkan bumi daripada terus dibebani pencemaran yang bermaharajalela.

Selain mengambil kesempatan untuk meneropong bulan dan warga angkasaraya lainnya, ruang bergelap selama sejam ini kami isi dengan bercerita dengan anak-anak tentang zaman persekolahan kami yang sememangnya sinonim dengan situasi Earth Hour ini. Ummilah yang paling banyak menceritakan pengalamannya belajar dalam kegelapan. Anak-anak hanya terlopong mendengar betapa ummi belajar di rumah hanya dengan bercahayakan dua batang lilin. Pastinya, menonton televisyen sesuatu yang mustahil bagi keluarga yang berpendapatan sara diri sahaja. 

Siangnya sarat dengan mengerah kudrat membantu ibu ayah mengumpul hasil mahsyul tani untuk dijual dan menjadi pendapatan. Malamnya tentu sahaja dipenuhi suasana gelap, menyingkatkan masa belajar kerana pekat malam bukan sahaja mengajak untuk tidur dan melelapkan mata seawal malam yang masih muda, tetapi juga pada pekat malam itulah ’anugerah’ yang cukup nikmat lantaran siangnya yang bermandi keringat. Sungguhpun demikian, kisah gelap malam tidak berakhir dengan tidur malam yang awal dan kepenatan yang menjadi kebiasaan sehari-hari. Kegelapan malam juga menghidangkan cerita-cerita misteri dan seram yang kekadang menjadi kelucuan pada usia dewasa kini. Pada akhirnya, betapa kehidupan lestari masa itu suatu ketika dahulu cukup dirindui kerana meskipun serba serbinya kekurangan, namun kekurangan itulah yang sentiasa membahagiakan!.

Kini, tanggungjawab menjaga bumi yang lestari ini menjalar kepada semua manusia dewasa hari ini, yang pernah menjadi kanak-kanak suatu ketika dahulu. Sebagaimana kita mampu membuat penilaian kedhaifan hidup masa kanak-kanak dahulu, adalah kehidupan sebenar yang dirindui kerana kaya lestari, maka menjadi tanggungjawab kita juga untuk memberi kefahaman kepada anak-anak hari ini, tanggungjawab menjaga bumi indah ini bakal membebankan mereka suatu hari kelak andai mereka cuai menghuni dunia yang mereka bakal warisi. Lantas, wajar menanamkan bibit ini seawal usia yang muda, agar dewasanya kelak....bersama kelestarian alam yang tidak lagi menangis kerinduan. Hatta sekecil belajar membuang sampah dengan cara yang betul adalah sebesar-besar sumbangan yang boleh diwakafkan untuk kerinduan pada bumi lestari yang semakin terancam!. Bersama menyayangi alam sekitar yang harmoni!.

Foto Kredit : Lano Lan

Posted using BlogPress from my iPad

Menyumbang III

Seringkali seseorang pemimpin memperkenalkan gagasan kepimpinannya. Sama ada dengan niat untuk memperkenalkan pendekatan yang berbeza dan diluar kebiasaan, atau atas apa alasan sekalipun, perkara paling pokok dalam konteks ini adalah untuk menggerakkan setiap tingkat dalam komponen organisasi itu digembleng untuk mencapai satu cita-cita secara bersama. Lantas, sebagai pemimpin, keupayaan untuk menjelmakan kefahaman hala tuju organisasi kepada orang bawahan itu suatu yang bersifat mandatori. Setingkat lebih dari itu, pemimpin organisasi juga tidak harus terlepas pandang daripada aspek bantuan dan sokongan mengoperasikan hala tuju yang digariskan, menjadi tindakan yang dikongsi secara bersama. 

Pada kebiasaannya, setiap anggota organisasi akan lebih mudah berfungsi andai dia tahu bagaimana mengoperasikan peranannya, walau sekecil manapun tugas yang dipikulkan kepadanya. Lantas, sedapat mungkin kepimpinan wajar menghampirkan setiap gagasan yang ingin dijelmakan kepada realiti pengetahuan dan pengalaman yang mereka miliki. Hakikatnya, dalam organisasi tentu sahaja wujud kelompok dari dua zaman yang berbeza. Golongan lama yang kelihatannya agak perlahan tetapi kaya dengan pengalaman. Satu golongan lagi, sangat bertenaga dan energetik tetapi kurang pengalaman. Tentu sahaja kombinasi yang paling ideal ialah kelompok yang berpengalaman dan penuh energetik!. Tetapi kemungkinan mempunyai kombinasi ini ibarat mencari permata dihamparan pasir. 

Lantas, tindakan yang paling hampir boleh dioperasikan adalah mengadunkan dua kelompok ini menjadi satu ramuan untuk satu tujuan. Pengalaman orang lama harus diberikan dimensi baru agar pengalaman itu mampu dilampiaskan dengan cara dan aplikasi yang betul. Pada masa yang sama, tenaga penuh yang dimiliki kelompok muda mesti diinstalasikan dengan perisian yang sesuai dan menepati keperluan organisasi agar mereka menimba pengalaman baru yang kelak mengoperasikan mereka. Andai kedua-dua pendekatan ini berjaya digerakkan oleh pemimpin organisasi, tentu sahaja jurang antara dua kelompok ini mungkin berjaya dikurangkan ketahap yang paling minima. Natijahnya, organisasi itu kelak memiliki pasukan yang mantap untuk mengupayakan operasi mereka mencapai hasrat dan cita-cita organisasi, disamping hasrat dan cita-cita individu dalam organisasi itu sendiri.

Bersambung.....

Menyumbang II


Pertemuan minggu lalu bersama sifu dan teman-teman diskusi menghidangkan beberapa pemikiran segar dalam menjadikan kehadiran kita dalam sesuatu organisasi lebih bermakna dan dirasai. Suatu yang sifu tegaskan dalam diskusi kali ini adalah elemen memberi sumbangan.  Kapasiti kita sebagai penjawat perkhidmatan awam tidak memisahkan kita daripada realiti keterbatasan upaya dan kemampuan kita sebagai manusia. Lantas, realiti ini harus sentiasa disedari bagi mengelakkan kita daripada terperangkap dalam sangkar ciptaan tindakan kita sendiri.

”Push the right button!”. Rasanya istilah itu tidaklah terlalu luar biasa. Tetapi kuasa tersembunyi pada istilah itu adalah luar biasa andai kita tahu menggunakannya. Seorang pemimpin organisasi kelihatannya hanya perlu bertindak bijaksana memilih tindakan yang tepat untuk menggerakkan anggota organisasi menjayakan fungsi dan objektif organisasi itu sendiri. Kadang-kadang tindakan yang bersifat belaian dan sentuhan kemanusiaan pun sudah memadai untuk menjadikan seseorang energetik menjalankan tugasnya. Logik akalpun mudah menjelaskan betapa pendekatan yang bersifat humanistik ini lebih mudah diterima dan mendapat kerjasama. Siapa tahu hanya dengan menguntum senyuman, memberi seribu makna kepada orang bawahan. Siapa tahu juga sapaan dan tepuk bahu seorang ketua kepada orang bawahannya seumpama menerima suntikan super tonik yang menjadikannya segar dan hidup semula seperti baru.

Sempat juga bersembang dengan teman-teman diskusi semasa membuat pengisian di sebuah sekolah menengah beberapa hari yang lalu, betapa trend masa kini tidak lagi menggunakan pendekatan 'kuasa' dan 'ugutan'. Mungkin kelihatan agak kasar dan masih boleh dibahaskan. Ada benarnya pendekatan ini mungkin sesuai pada kelompok tertentu yang biasa dengan cara yang agresif. Namun, sebagai seorang pemimpin organisasi, elemen yang lebih perlu sebenarnya adalah keupayaan menggerakkan orang bawahan dan organisasi untuk mengupayakan fungsi sebenar mereka. Pada peringkat inilah 'clear direction' atau hala tuju yang jelas harus diformasikan kepada organisasi.

Bersambung.....

Wednesday, March 28, 2012

Berfikir Secara Sistemik

Pola kehidupan di dunia kini menjurus ke arah pola sistemik berbanding hanya berpuas hati dengan penilaian sistematik. Fitrah manusia suka melihat sesuatu dengan menyeluruh, holistik atau sistemik. Ia nampak mudah pada objek dan perkara kecil, namun ia memerlukan disiplin bagi sesuatu yang besar dan melibatkan satu jangka masa panjang.

Buku ini menerangkan bagaimana anda boleh memanfaatkan potensi berfikir untuk berjaya serta mampu untuk mengelakkan pelbagai kesilapan dalam memahami persekitaran sama ada di rumah, di tempat kerja atau kehidupan seharian. Anda mungkin pernah mengalami peristiwa di mana apa yang berlaku tidak mampu difahami walaupun sedikit sebab musababnya. Dengan pemikiran sistemik, anda mampu menjangka dan memahami dengan lebih luas.


Jika anda ingin melihat sesuatu dengan mikro, pemikiran sistematik boleh menjadi jawapan. Jika anda ingin melihat dunia secara mikro dan makro, pemikiran sistemik mampu membawa anda ke aras seterusnya.

Buku Berfikir Secara Sistemik tulisan Fazrul Ismail ini mudah diperolehi di kedai-kedai buku utama atau secara online disini. Selamat Membaca!

Posted using BlogPress from my iPad

Tuesday, March 27, 2012

Menyumbang I

Seringkali isu kepimpinan menjadi polemik dalam organisasi. Tentunya konflik wujud dan mudah berlaku kerana kapasiti kepimpinan menjadi pembolehubah yang memberi impak dalam skala yang besar kepada organisasi. Namanya pun pemimpin, dan daya kepimpinan seseorang pemimpin tentu sahaja akan menjadi perhatian dan perhitungan dalam organisasi sama ada oleh ahli atau bukan ahli organisasi berkenaan. Kemenjadian organisasi nampak seolah-olah terpikul dibahu pemimpin organisasi berkenaan.


Pada masa yang sama, kurikulum latihan kepimpinan organisasi terus tumbuh bagai cendawan selepas hujan pagi. Pelbagai gaya kepimpinan dibicara dan dibahaskan lewat kelas dan praktikal berhadapan dengan realiti sebenar budaya dalam organisasi. Tentu sahaja pelbagai pendekatan dan aplikasi dicadangkan untuk diguna-pakai. Malah sesetengah pakej latihan organisasi siap mencadangkan solusi-solusi tertentu untuk masalah-masalah tertentu. Namun realiti yang berlaku,sangat berbeza dengan implimentasi yang diusahakan.

Agaknya pada tahap inilah peranan dan fungsi kepimpinan pendidikan amat ditagih dan diperlukan. Peranan pemimpin pendidikan yang menjadi lapisan yang mempertemukan kehendak dan hasrat kementerian pelajaran dan falsafah pendidikan negara di satu pihak, dengan guru-guru dan kumpulan pelaksana lainnya di satu pihak lain, bukanlah satu tugas mudah. Hubungan intim ini memerlukan perantara yang benar-benar berkesan, sentiasa peka dengan proses mutasi yang berlaku dalam dunia pendidikan dan paling kritikal lagi berupaya, memberi dorongan dalam bentuk hala tuju yang jelas dan mudah difahami.

Sebenarnya, sebagai pemimpin pendidikan, kita tidak memerlukan kuasa untuk diperagakan kepada orang bawahan. Apatah lagi pada era maklumat sudah menjadi perkara yang mudah dicapai pada kebanyakan orang, tidak lagi membenarkan pemimpin pendidikan menggunakan kuasa semata-mata untuk mendorong orang bawahan dan sub-ordinatnya berfungsi dan berperanan selayaknya. Dalam konteks berorganisasi, rasanya kita wajar untuk memberi sepenuh kepercayaan kepada orang bawahan kita, hatta jika orang bawahan itu kurang bereputasi baik!.

Daripada kita terus bersikap skeptikal dengan orang bawahan yang bekerja bersama-sama kita, adalah lebih baik kita memberi kepercayaan sekali lagi dan sekali lagi, sehingga akhirnya kakitangan ini akan terasa sendiri akan potensi dan keupayaannya dipikulkan tugas. Tiada manusia normal yang ingin menjayakan hidupnya dan dirinya, sanggup berbuat khianat kepada apa yang diusahakannya sendiri. Rasanya kita harus memiliki kepercayaan kepada sub-ordinat dibawah bidang atau unit kita. Kepercayaan yang kita pacakkan kepada mereka ini bukan sahaja akan mendorong keyakinan diri yang tinggi dikalangan sub-ordinat, malah juga berupaya 'menggerakkan' diri mereka untuk menjadi individu yang responsif kepada peranan dan tugasnya dalam organisasi......

Posted using BlogPress from my iPad

Friday, March 23, 2012

Mengajar Pengajaran...

Semalam bertemu dengan teman lama. Kesempatan teman berkunjung ke tempat saya dimanfaatkan semaksimanya. Diskusi kedai kopi yang santai tetapi sarat dengan idea dan kritikan, selayak ahli politik yang berbuih memperkatakan itu dan ini, namun pada akhirnya pelaksanaan jua yang akan menjadi ukuran dan perhitungan. Pastinya dalam semua situasi ini hanya masa yang mampu menjadi saksi kepada setiap idea dan pelaksanaannya, sungguhpun amat pasti banyak pembolehubah lain yang akan menjadi penentu berjaya atau tidaknya segala idea yang dicadangkan.

Seketika kemudian teman ini menerima panggilan telefon dari temannya. Perbualan kami terhenti dan kerana tiada apa yang boleh saya lakukan, saya hanya memerhati dan mendengar-dengar perbualan mereka. Berlagak seolah-olah saya mengiktui perbualan itu, saya cuba meneka apakah topik perbualan mereka. Tentu sahaja sukar untuk saya mentafsirkan isi perbualan mereka, tetapi daripada soalan dan jawapan yang teman ini berikan saya mengagak orang yang menelefon teman saya itu ingin bertemu dengannya. Pendekkan cerita, seraya meletakkan telefon, teman ini tertawa kecil dan menamakan teman yang menghubunginya. 

Seketika kemudian kami berbicara tentang isu 'mengajar dan pengajaran', rentetan daripada perbualan kami, ada benarnya apa yang teman ini bicarakan. 'Mengajar' dan 'pengajaran' itu sememangnya dua terma yang cukup berbeza. Mengajar ini selalunya diaplikasika untuk anak-anak murid. Kelompok ini sememangnya berstatus 'sedia menerima' apa sahaja yang diberikan oleh gurunya. Anak-anak murid ini mudah menerima tanpa soal kerana sememangnya situasi mereka 'bersedia' menerima muat turun perisian yang ingin disampaikan kepada mereka. Sebab itu terma 'mengajar' ini sesuai untuk anak-anak muda yang bersedia untuk menerimanya. 

Sebaliknya menurut teman ini lagi, untuk orang tua, yang sudah dewasa, malah yang sentiasa merasakan tahu segalanya tidak lagi sesuai diajar, tetapi perlu diberi pengajaran!. Orang tua sebegini, apatah lagi yang berstatus guru menurut teman ini lagi, hanya perlu diberi pengajaran kerana melalui pengajaran yang dialaminya itulah dia akan mengajar dirinya sendiri. Saya berfikir sejenak, betul juga!. Perkara ini sebenarnya bukanlah luar biasa sangat, tetapi penekanan dan penegasan yang diberikan untuk mengurus manusia dewasa dan manusia kanak-kanak sememang perlu berbeza. Pastilah berbeza cara kita menyuruh kanak-kanak membuat kerja dengan cara kita menyuruh orang dewasa membuat kerja.

Betapa cara dan amalan ini memberi impak yang juga berbeza seperti kurang difikirkan. Mungkin juga disebabkan kebiasaan yang dilakukan, kadang-kadang kita terlanjur menggunakan pendekatan mengajar kepada orang tua dan sebaliknya menggunakan pendekatan pengajaran kepada kanak-kanak, dan kesannya mungkin kita akan berhadapan dengan konflik yang akan membebankan komunikasi kita dengan dua kelompok berbeza ini. Tidaklah terlalu mengherankan andai kita berhadapan dengan terlalu banyak konflik komunikasi jika sekiranya inilah pendekatan yang mungkin seringkali kita amalkan. Think different!. Jom!.

Wednesday, March 14, 2012

Quick Step.....

While we are proud stand here, the rest has moving more then 1 step in front of us. Let's think how far they are leaving us?. Maybe...this kind of car can describe something in our mind! For further info, let's visit here...







Tuesday, March 6, 2012

Terbang semahu...

Semalam, dalam belai hujan yang berterusan sejak dari malam, saya bergerak memenuhi undangan teman-teman di sebuah sekolah menengah di sebuah pulau. Undangan sejak seminggu yang lalu disepakat dengan iltizam ini kesempatan untuk saya menyatakan sesuatu kepada anak-anak pulau. Rasanya saya harus realistik menanggapi persoalan ini kerana tiada siapa yang akan mengubah apa-apa melainkan kita sendiri yang mengusahakannya!. Lantas, saya bunuh perasaan was-was untuk menyakini langkahan saya menuju destinasi, meski sarat bersama persoalan 'mampukah saya memberi impak' tidak saya hiraukan. Tentu sahaja kocakan ombak tidak akan mengubah hasrat destinasi kali ini.

Kesempatan bersama anak-anak pulau saya gunakan untuk melampiaskan beberapa perkara penting. Pertamanya, keperluan untuk kita mempunyai perspektif yang positif menanggapi setiap halangan dan persoalan yang kita hadapi. Hakikatnya tiada manusia yang lolos dari menghadapi kemelut dalam kehidupannya. Hatta anak-anak kecil yang tidak tahu apa-apa pun, berisiko dijamah kesulitan, apatah lagi manusia yang normal tentunya tidak akan terlepas dari melakukan pelbagai aktiviti yang akan turut mengundang pelbagai halangan dan cabaran. Saya tegaskan bahawa setiap kesukaran yang kita hadapi harus ditanggapi secara positif walau sesukar mana kita mengalaminya. Tentunya kesukaran yang dihadapi sepadan dengan usia dan keupayaan kita. Sebaliknya, masalah memang akan menjadi masalah andai kita melihatnya menggunakan fikiran negatif yang hanya tahu memikirkan masalah, dan tidak produktif mencari penyelesaian!.

Kedua, saya tegaskan juga potensi besar yang tidak dimanfaatkan yang ada pada setiap diri kita. Saya analogikan lukisan dua wajah untuk memperlihatkan 'kita sebenarnya dalam menjalani kehidupan masa kini, tanpa sedar atau tidak, sedang tekun melukis diri sendiri'. Saya tegaskan demikian kerana tindak laku kita hari ini akan menghasilkan rupa wajah kita pada hari esok!. Dalam bahasa mudah, apa yang kita usahakan pada hari ini akan menentukan apa yang akan kita miliki pada masa depan. Kita menjadi individu yang sukses dan bahagia dalam tafsiran umum, dicorakkan oleh inisiatif dan kreativiti kita ’mengusahakannya’ pada hari ini!. Saya pacakkan ’kefahaman’ ini kerana menyedari hanya pencapaian yang baik dalam akademik sahaja yang memungkinkan peluang mencipta pelbagai kebaikkan mampu dijelmakan. Tanpa menolak peluang lain yang mungkin terhidang, saya tegaskan unsur pencapaian akademik sebagai pra-syarat utama kepada anak-anak ini untuk keluar dari kepompong yang melingkari mereka. 

Atas prinsip sesuatu perubahan yang kita inginkan itu hanya boleh berlaku andai diri kita sendiri yang beriltizam mengusahakannya, saya paparkan kisah Nick Vuijicic, manusia tanpa kaki dan tangan yang berupaya melakukan pelbagai perkara meski sentiasa bersama dengan kekurangan sepanjang usianya. Betapa kita kerdil dalam melayari kehidupan ini saya hamparkan lewat mini dokumentari 'Comparison of Size', guna menjelaskan keperluan kita bergerak menggunakan 'extra step' agar sama seiring dengan manusia lain. Tiada siapa yang dilahirkan malang, bezanya cuma sama ada kita menganggap diri malang berbanding orang lain. Ayuh….anak-anak....terbanglah semahumu!.  Serlahkan sayapmu menebar angkasaraya!.

Tuesday, February 28, 2012

Perspektif Tingkat 6

Diskusi pagi ini agak sarat dengan gagasan. Namun perbincangan dipermudahkan sesuai dengan hadirin yang terlibat yang kelihatannya berat berasimilasi dengan idea-idea yang ’kelihatan’ agak terpisah dari rutin kerja harian mereka. Sebenarnya, bukanlah berat mana sangat, tetapi kita harus akur juga kepada kepelbagaian sudut pandang individu yang berbeza-beza. Pada hemat saya, kepelbagaian tidak seharusnya menjadi penghalang kepada suburnya budaya berdiskusi. Malah dari satu segi perbezaan pendapat itu kekadang mencetuskan idea-idea yang teruji dan masak!, tentu sekali ia akan mencambahkan ranting manfaat yang lebih melebardan meluas.


Beberapa penegasan saya lontarkan khususnya dalam rangka membina perspektif teman-teman diskusi. Tentunya akan berlaku pertembungan idea dan pendapat. Saya merasakan kita tidak harus berasa gusar dengan perbezaan sebegini. Asal sahaja kita masih menghormati adab dan tatasusila perbincangan, rasanya tiada sebab untuk kita tidak memanfaatkan kesempatan ini. Bukankah lebih elok kita meraikan perbezaan pendapat kerana natijah dari kontradiksi ini nanti adalah tercetusnya idea dan pemikiran yang telah melalui perbahasan panjang dan kritikal. Sebaliknya memilih untuk terus mengusung obor keegoan bukan sahaja menjadikan lahir gagasan yang jumud dan tertutup, malah risiko besar menanti mereka yang mendukung pendekatan ini adalah membuka lompang-lompang kosong dalam diri yang cenderung mengarah kepada unsur ’katak dibawah tempurung’.

Kedua, ditegaskan juga perihal potensi dan peluang yang sentiasa kita usung bersama. Sebagai individu manusia yang diiktiraf sebagai khalifah, tentunya janggal untuk kita melihat khalifah melakukan perbuatan yang melanggar norma-norma masyarakat normal. Apatah lagi andai perbuatan itu jauh dibawah aras pemikiran manusia normal berkenaan. Lantas, kita harus sentiasa mengingati bahawa setiap tindak laku kita adalah menjadi tontonan mata masyarakat umum lainnya. Selemah-lemahnya, mata anak-anak dan isteri kita dirumah. Kapasiti ini menuntut semua individu untuk memperagakan ’cerita’ yang konstruktif bukan sahaja untuk diri semata-mata, malah juga menginspirasikan orang lain. Sekaligus, gagasan ini menjadikan hidup kita sentiasa sarat dengan perbuatan dan tingkah laku yang sopan. Apakah lagi yang boleh kita harapkan sebagai individu manusia selain ’batang tubuh’ kita itu sendiri boleh menjadi bahan yang difotostat oleh orang lain, khususnya anak-anak dan keluarga kita!.

( Penaakulan diskusi ini sebenarnya dibuat semalam, seusai diskusi! )

Posted using BlogPress from my iPad

Sunday, February 26, 2012

Gaya Pengajaran & Pembelajaran

Buku kecil setebal 114 muka surat ini diterbitkan oleh PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Buku yang dikategorikan dalam genre Pendidikan, Kaunseling dan Pendidikan Umum ini diindekskan  dalam ISBN-13: 978-967-5226-86-1, dijual pada harga RM 17.50, diterbitkan  pada 4 Jan 2010. 

Memetik ulasan buku ini dalam laman sesawang PTS, amat relevan untuk memugar kembali profesionalisme keguruan, khususnya di bilik-bilik darjah.....
Setiap individu memerlukan strategi, pendekatan, teknik, dan kaedah yang berbeza supaya proses pembelajaran yang dilalui mencapai tahap optimum. Guru perlu berbakat dalam merancang dan menyampaikan pengajaran kepada pelajar yang pelbagai. Jesteru, pengajaran perlu dirancang, disusun, dilaksanakan, dipantau, dan diselia dengan teliti bagi menghasilkan pengajaran yang efektif.
Perbincangan santai dengan gaya bahasa yang menarik, rasanya bukan sahaja meremajakan semula semangat keguruan kita, tetapi yang lebih penting lagi mencadangkan pendekatan, teknik dan kaedah yang menarik untuk 'memenangi tumpuan dan perhatian pelajar' mengikuti pengajaran kita sehingga akhirnya.

Lawati laman ini untuk mendapatkan buku Gaya Pengajaran dan Pembelajaran.

Friday, February 24, 2012

Marikh.....

Anda mungkin berpeluang melihat planet Marikh pada kedudukan yang paling hampir dengan bumi pada awal Mac 2012 ini. Tentunya, cukup mengujakan dapat melihat dengan mata kepala sendiri beberapa lokasi seperti yang dapat dilihat dalam gambar. Peluang yang jarang-jarang berlaku ini selayaknya dimanfaatkan untuk kebaikan dan pengetahuan manusia.  Maklumat lanjut tentang fenomena ini, sila-silalah berkunjung ke Laman Falak Online.

Sumber & Kredit : Laman Falak Online.

Monday, February 20, 2012

Petakan Minda Anda....

Rasa penat perjalanan panjang semalam kembali ke Kota Pengkalan, masih terasa. Namun saya mesti memulihkan kembali tenaga untuk cergas melakukan tugasan yang lain. Semasa berpergian ke ibu negeri selama 4 hari, saya menerima panggilan telefon dari seorang rakan guru sebuah sekolah menengah di Kota Pengkalan. Memang saya sudah menjangkakan rasa penat dan keletihan ini, pada hari saya menerima undangan itu lagi. Namun semua itu harus ditolak ketepi kerana kesempatan berdiskusi dengan anak-anak lebih mengujakan. Lantas, pagi tadi seawal jam 8 pagi, saya cuba menyempurnakan hasrat undangan itu dengan harapan menggunung akan ada kalangan anak-anak ini yang terkesan dengan diskusi yang dijalankan.


Sama sebagaimana di SMK. Abdullah minggu lepas, perbincangan kemahiran belajar yang saya kendalikan cuba mencerahkan pemahaman pelajar tentang potensi yang mereka miliki. Saya perihalkan perbincangan pagi ini dengan paparan kisah Nick Vujicic, manusia tanpa tangan dan kaki, namun berkat usaha dan inisiatifnya yang bersungguh-sungguh, Nick mampu berdikari. Saya tegaskan kepada anak-anak pelajar musuh kita yang paling utama adalah melawan kehendak dan kemahuan diri sendiri. Pada kebiasaannya, kita hanya bersungguh untuk berkorban melakukan perkara yang kita nampak hasilnya pada hari ini. Amat sukar untuk kita sanggup mengorbankan diri kita sendiri pada hari ini, untuk kesenangan kita pada hari esok ( masa depan kita ).


Sungguhpun tajuk yang diberikan kepada saya adalah konsep dan kaedah peta minda dalam pembelajaran, namun sedikit sahaja masa yang saya gunakan untuk membuat sedikit bengkel dan pencerahan bagaimana menghasilkan peta minda. Berbekalkan nota-nota ringkas yang pernah saya gunakan semasa bersekolah suatu ketika dahulu, saya cuba untuk memberi gambaran betapa kemahiran belajar yang betul membantu kita melalui proses pembelajaran yang santai dan menyeronokkan. Tunjuk cara menjadi lebih mudah dengan penggunaan iPad dan Noteself, membantu saya memberi pemahaman kepada 150 orang pelajar yang menghadiri Seminar Kemahiran Belajar ini.

Fasa penutup pagi tadi saya akhiri dengan sedikit tayangan video tentang perbandingan saiz planet dan matahari yang ada dalam sistem angkasaraya, yang lazimnya tidak ramai yang mengetahui hatta kalangan rakan-rakan guru sekalipun. Sebagaimana lazimnya, anak-anak pelajar mempamer rasa heran dan termanggu lantaran tidak mengetahui perkara ini. Namun saya tegaskan diakhirnya, usah kita merasa bongkak andai kita merasa kitalah yang hebat. Sebaliknya usah kita merasa kerdil, andai kita merasa kitalah yang paling corot dalam kelas, kerana yang paling penting antara kesemuanya itu adalah usaha dan ikhtiar kita untuk berjaya, bukan sahaja peperiksaan di sekolah, tetapi juga berjaya sebagai manusia.

Agaknya begitu yang dapat saya simpulkan. Moga usaha ini mendapat hasil sebagaimana yang diharapkan oleh semua yang terlibat menjayakannya!. Amiin.

Posted using BlogPress from my iPad

Sunday, February 19, 2012

Lorong Kehidupan...

Berkesempatan bertemu dengan teman-teman lama, tentunya jarang-jarang bertemu akan mengundang cerita panjang. Saling bertanya khabar, dan pelbagai perkembangan yang berlaku dalam kehidupan masing-masing. Ada perkara yang berlaku tidak seperti yang saya jangkakan selama ini. Sebaliknya, ada juga perkara yang saya jangkakan tetapi tidak berlaku sebenarnya.


Apa yang saya pasti, daripada apa yang kami bualkan, masing-masingpun mahu melakar kejayaan peribadi masing-masing. Caranya dan pendekatan sahaja yang berbeza. Perspektif tentunya juga berbeza. Sudut pandang itu pulalah yang akan mempengaruhi gaya berfikir dan bertindak. Harga dan saiz kejayaan dicapai juga diukur dengan cara-cara dan pendekatan masing-masing. Bukan berniat untuk membanding diri dan teman-teman. Namun, kelihatannya ada perkara yang akan membawa kita membandingkan diri dengan orang lain. Apatah lagi perkara yang kita jangkakan untuk kita capai, tetapi teman ini sudahpun berganjak dua tiga tapak kaki ke hadapan. Terasa amat tertinggal!.

Seketika saya merasakan mengapa harus begitu. Bukankah sewajarnya kita membuat lorong dan laluan sendiri. Hakikat bahawa setiap individu mempunyai keistimewaan dan kekurangan masing-masing segera saya perteguhkan. Baik pada orang lain, belum tentu baik pada saya, demikian sebaliknya, baik pada saya belum tentu baik pada orang lain. Kita wajar untuk melakar lorong dan laluan sendiri kerana yang penting pada hemat saya adalah keupayaan kita memberi makna kepada apa yang kita rencanakan. 

Tentulah amat kurang bijaksana andai meletakkan matlamat akhir dilorong dan laluan yang dipilih itu, sesuatu yang tidak baik apa lagi sesuatu perkara yang memudaratkan. Jika pencuri yang ’terpaksa’ mencuri walaupun dia menyedari perbuatannya mencuri itu memberi kesan yang tidak baik atau memudaratkan orang kena curi hartanya itu, namun seburuk-buruk si pencuri itupun masih meletakkan harapan yang baik sebagai justifikasi kenapa dia mencuri. Selemah-lemahnya....memikirkan sesuap nasi untuk mengalas perutnya kalaupun tidak keluarganya. Kalau si pencuri terfikir begitu, maka selayaknya bagi manusia yang waras terfikir lebih baik daripada itu. Agaknya begitu selayaknya!.

Saya konklusikan catatan ini dengan meletakkan keyakinan bahawa setiap inci kebaikan yang berjaya kita pakukan, pasti ada kebaikan yang menanti meski sebesar zarah cuma!. Suatu yang pasti, cari dan binalah lorong dan laluan kehidupan masing-masing kerana kita lebih arif daripada sesiapapun jua manusia di muka bumi ini, sekurang-kurangnya dalam hal ’apa yang kita mahu’. Agaknya benar begitu, anda fikirlah sendiri....

Tuesday, February 14, 2012

Purba Moden....


Penemuan bateri dari Baghdad, Iraq 
Pada 1930, ahli arkeologi Austria, Dr Wilhem Konig yang menjalankan kerja mencarigali di daerah Khujut Rabula, dekat Baghdad; menemui suatu objek aneh tertanam di tapak itu. Objek itu terdiri daripada silinder tembaga, batang besi serta aspal yang disusun dalam sebuah bekas tanah liat seperti tempayan kecil setinggi 14 sentimeter (sm) dan berdiameter lapan sm. Penyelidikan lanjutan mendapati objek aneh itu ternyata berfungsi seperti bateri malah bateri kuno itu dianggarkan berusia 2,000 hingga 5,000 tahun lalu! Penemuan menggemparkan itu secara tidak langsung mencabar sejarah berikutan bateri dikatakan pertama kali dicipta pada 1800 oleh Count Alessandro Volta. Penemuan itu juga secara tidak langsung menunjukkan masyarakat purba yang wujud 5,000 tahun lalu sudah menemui tenaga elektrik sekali gus ‘menafikan’ Michael Faraday sebagai individu pertama menemui induksi elektromagnetik dan hukum elektrolisis pada 1831. Uji kaji mendapati bateri kuno itu mampu menghasilkan tenaga elektrik antara 1.5 volt hingga dua volt. 


Sumber & Kredit : Teknologi Moden zaman dulu!

Friday, February 10, 2012

Sempat ke tak sempat?


Ada kesempatan, saya akan datang!. Seringkali kita bertembung dengan suasana ’tiada kesempatan’. Sempat dalam konteks yang bagaimana?. Sempat apa?. Kenapa tidak sempat?. Bagaimana boleh sempat?. Banyak lagi persoalan berkaitan yang merangkumi persoalan sempat tak sempat!.

Saya melihat ’Sempat’ dalam suasana terpilih. Ketika sibuk melakukan apa-apa tugas, tiba undangan atau ajakkan daripada teman-teman jauh dan dekat untuk menjemput bersama. Tentunya tidak berapa ’sukar’ untuk menolak undangan atau jemputan teman-teman yang agak kurang rapat. Sebaliknya amat sukar untuk menyatakan ’tidak’ kepada undangan teman-teman yang begitu rapat. Tetapi bukan isu terima undangan ini yang ingin saya perhitungkan. Punca ajakkan kita selalunya berkait-rapat dengan sempat tak sempatnya kita memenuhi undangan. Sejujurnya, saya sering bertembung dengan suasana ini. 

Ketika saya sibuk menyiapkan sesuatu tugasan, teman-teman menjemput untuk menghadiri kenduri-kendara, sedangkan masa yang ada sesuai digunakan untuk menyiapkan tugasan. Mahu tak mahu, kita mesti kreatif mengujudkan keadaan ’sempat’ untuk memenuhi pelbagai keperluan tersebut. Mesti sempat untuk menghadiri kenduri dan undangan teman-teman dan dalam masa yang sama sempat juga untuk menyiapkan tugasan yang dihantar kepada pihak yang berkenaan.

Pada tahap inilah, upaya menyediakan kesempatan itu ditagih. Secara peribadi, saya cenderung mengorbankan kepentingan peribadi saya, dan memenuhi undangan teman-teman jika berlaku dalam situasi seperti ini. Rasanya ’tugasan saya, saya boleh siapkan kemudian, tetapi undangan teman-teman akan terlepas....andai saya tidak dapat menghadirinya’, demikian kerangka fikir saya menghadapi situasi ini. Tugasan yang saya tanggung akan diselesaikan dengan pelbagai pendekatan. Tentunya akan menuntut pengorbanan masa, ikhtiar berfikir yang melampaui kebiasaan dan yang sering berlaku....masa senggang saya bersama anak-anak dan keluarga di rumah.  

Pendek kata, sempat tak sempatnya kita melakukan sesuatu acapkalinya dikawal oleh diri kita sendiri. Rasanya begitu!. Sungguhpun seringkali juga saya jarang mengambil kesempatan untuk sempat melakukan sesuatu, tetapi dalam situasi yang memerlukan, kita wajar menukar kesempatan yang ada agar kita sempat melakukan perkara yang dirasakan tidak sempat! Iya ka?