Sunday, May 3, 2009

Menjadi diri……

Seringkali polemik melingkari keberfungsian organisasi. Saya nyatakan demikian kerana acapkali polemik itu yang lebih mendominasi perbincangan daripada matlamat asal objektif sesuatu perkara atau dasar dibuat dan diperkenalkan. Sungguhpun tujuan polemik itu sendiri adalah kearah memastikan tercapainya objektif sesuatu dasar, tetapi pada hemat saya, tidak seharusnya perbezaan pendapat membantutkan matlamat organisasi.

Senario 1.
Seorang pekerja senior, yang telah lebih 10 tahun bekerja. Diberi tugas tertentu, dan sering kali menimbulkan masalah pada bahagiannya. Kerjanya seringkali tertunda, terabai malah langsung ‘hilang dari radar’.
Bagaimana kita menanggapi situasi ini. Memang pada keseluruhannya, tiada cerita, adalah lebih baik pekerja ini dtukarkan sahaja daripada bahagiannya. Tetapi adakah ini cara penyelesaian terbaik. Secara peribadi, menukarkannya ke bahagian lain bukan merupakan keputusan bijak. Malah keputusan ini kelihatan kejam kerana memindahkan masalah kepada orang lain. Kalaupun dia berubah, itu sudah merupakan satu bonus dan tidak perlu diperdebatkan lagi.

Kecenderungan yang sudah membarah kini adalah mengambil tindakan drastik. Ditanya dan ditagih, hasil kerja yang akhirnya memaksanya menyiapkan kerja seperti yang diinginkan, walaupun mungkin tidak akan memenuhi kriteria kerja seperti yang kita inginkan. Atau lebih lembut lagi, diamkan sahaja dan biarkan keadaan yang merubah segalanya. Kedua-duanya bagi saya adalah cara yang kurang tepat, dalam konteks kita sebagai seorang pengurus kepada situasi ini.

Saya suka melihat ke dalam diri menanggapi persoalan ini. Pada tahap inilah, pada hemat saya kita harus berkira soal profesionalisme kita kepada profesion. Tanpa selektif pada mana-mana profesion, saya amat yakin, tetap ada beza antara individu yang mempertahankan prinsip profesionalismenya dalam profesion dengan individu yang khianat pada profesionnya.

Kalaupun kita sudah tidak secergas dan sepantas dulu, sekurang-kurangnya kita tetap berjalan laju, jauh lebih baik daripada duduk menopang dagu. Kalaupun kita tidak memecahkan rekod, sekurang-kurangnya kita menyamai rekod, jauh lebih baik daripada langsung tidak mahu membuat rekod. Lebih jelas lagi, kalaupun kita tidak mampu menyumbang kepada kejayaan organisasi secara terus, sekurang-kurangnya janganlah menjadi penyumbang kepada kegagalan oganisasi.
Saya menyatakan demikian, iltizam sebagai seorang penjawat awam yang tetap mempunyai peranan tidak kira berapa saiz peranan dan posisi kita dalam organisasi. Paling mahal bagi saya adalah harapan bahawa iltizam ini adalah sebagai butir-butir kebaikan yang mampu kita lakukan, untuk dinilai sebagai pahala dan kebaikan. Bolehkah kita semua berfikir demikian ?. Selamat Hari Pekerja!.

Half Moon

Hari Sabtu, saya dan keluarga dikunjungi sanak saudara yang balik kampung dari Tawau dan Lahad Datu. Meriah!. Aktiviti diisi dengan program makan-makan.
Istimewa, makan jagung rebus sambil meminum air rebusan jagung memang menyelerakan. Apatah lagi makan sambil melihat gelagat anak-anak bertemu dengan sepupu mereka, hiruk pikuk rumah dibuatnya. Ada geng yang bermain ‘billionaire’, hadiah kakak Along sempena English Week minggu lepas.
Anak yang tua dengan gengnya pula membelek-belek buku di Bilik Belajar. Ada juga yang mengambil beg peralatan sukan saya, megambil reket badminton dan tenis, bermain dihalaman rumah.
Menjelang petang, saya membawa telescope ke tengah halaman dan mengajak anak-anak meneropong bulan separuh!. Apa lagi, masing-masingpun mahu mengambil giliran. Anak sulung mencadangkan giliran berdasarkan siapa yang lebih tua. Adik-adik pula minta didahulukan kerana mereka adik….yang juga mesti didahulukan!. Haa..haa….. pening kita.
Masing-masing menyatakan rasa keganjilan melihat permukaan bulan. Anak-anak saya membantu sepupu mereka menggunakan kamera untuk melihat bulan separuh itu. Apapun, nikmatilah bulan separuh yang kami cerap pada petang hari sabtu lalu.






Friday, May 1, 2009

Warna-warni Pesta Pantun































Kelmarin sekolah saya menjadi tuan rumah Pesta Pantun peringkat Daerah. Suatu yang pasti banyak pengalaman yang diperolehi sama ada dalam hal penganjuran dam pengelolaan Pesta Pantun itu sendiri atau juga dalam hal yang lebih spesifik, mencipta, menjual dan membeli pantun!. Bukan mudah sebenarnya mencipta pantun. Pemilihan rima tengah dan rima hujung mesti diambil kira. Pembayang pula mempunyai tema tertentu seperti unsur alam, unsur tradisional dan seumpamanya.
Idea spontan para pemantun sememangnya harus dipuji. Dalam entry saya sebelum ini, saya selitkan 3 rangkap pantun berkait. Agak lama juga saya menghasilkannya, itupun menurut guru Bahasa Melayu yang serumah dengan saya, pantun saya itu tidak layak mendapat markah penuh. Tabik spring! kepada anak-anak pelajar kerana berkemampuan menghasilkan pantun dalam masa 60 saat sahaja!.
Begitupun bangga kerana anak-anak murid saya muncul 'juara'. Tahniah kepada jurulatih dan para pengiring mereka. Tahniah juga kepada sekolah kerana berjaya menganjurkan Pesta Pantun 2009!. Jumpa lagi tahun depan.

Thursday, April 30, 2009

Juara Pesta Pantun.....

Dayung sampan ke Pulau Sibuan,
Pulau nun jauh berbalam-balam,
Segak tampan bagai pahlawan,
Juara Pantun pasti digenggam.

Pulau nun jauh berbalam-balam,
Tempat di tuju Sang Purba beradu,
Juara Pantun pasti digenggam,
Berkat murid rajin berguru.Tempat di tuju Sang Purba beradu,
Melepas rindu si bulan purnama,
Berkat murid rajin berguru,
Sekolah tersohor mendapat nama!.

Wednesday, April 29, 2009

Waxing Cresent Moon.....




Petang hari Isnin yang baru lalu, saya sempat merakamkan gambar bulan sabit yang kelihatan seolah-olah di atas ruang udara Semporna. Berlatarbelakangkan langit mega serta kubah menara Masjid Ar-Rahman, Semporna, suatu pemandangan yang sungguh cantik.




Kemudiannya, pada petang kelmarin, untuk pertama kalinya saya merakamkan wajah bulan sabit menggunakan Telescope Orion Spaceprobe 130 mm dengan padanan kamera digital SLR, Canon EOS 1000D. Beginilah rupa sebenar bulan sabit yang kita lihat di angkasaraya.
Kelihatan sangat banyak permukaan yang tidak rata. Dapatkah kita bayangkan, agaknya apa yang terjadi menyebabkan terbentuknya permukaan bulan seperti yang rakamkan di atas.

Tuesday, April 28, 2009

Kos Melepas......

Pagi ini jadual agak ketat.....cheh!. Bukan apa, awal-awal pagi lagi sebelum menghantar anak-anak ke sekolah mereka masing-masing, kemudiannya menghantar ibu mereka pula ke sekolah. Pagi ini ibu menghadiri Kursus Penataran Bahasa Melayu PMR, walaupun saya opsyen Pengajaran Bahasa Melayu, sudah banyak agaknya yang saya ketinggalan perkembangan pengajaran Bahasa Melayu ni, lantaran dminta mengajar subjek lain. Saya tumpang sekaki bersama guru Bahasa Melayu sekolah-sekolah lain. Ilmu dah berkarat agaknya ni!.
Malam tadi juga ada peristiwanya. Lebih kurang jam 1.30 pagi, bunyi guruh berdentum dan kilat yang saling silang menyilang, menyebabkan tidur juga tidak berapa lena. Bukannya apa, rumah dikelilingi pokok-pokok tinggi. Tetapi beberapa minit kemudian bekalan elektrik pula terputus. Habis bergelap!. Apa lagi anak-anak mula mengumandangkan irama-irama yang menzahirkan ketidak-selesaan mereka dengan keadaan panas yang merimaskan. Anak bongsu saya, Azzyati basah berpeluh. Saya mengambil inisiatif mengipas anak dengan menggunakan majalah. Lega sedikit, tetapi tidak berjaya menjadikan Azzy tidak nyenyak!.

Dua peritiwa diatas mengundang mesej bermakna kepada saya. Pertamanya, kita tidak seharusnya sentiasa berasa selesa, yang cenderung mendorong kita untuk tidak berinisiatif melakukan apa-apa. Peristiwa diatas, saya merasakan kehilangan dua perkara. Akibat terlalu asyik menumpukan pengajaran Bahasa Inggeris, saya kehilangan kemahiran mengajar Bahasa Melayu, secara teknikalnya. Sudah tentunya adalah penyusutan yang berlaku. Demikian juga, kerana sudah terbiasa, anak-anak tidur selesa dengan kipas dan penghawa dingin, akibatnya mereka tidak berpengalaman tidur tanpa alat-alat berkenaan.

Kesannya, kemahiran saya mengajar Bahasa Melayu sudah tentu tidak lagi menyamai kemahiran pada ketika saya mengajar subjek ini. Demikian juga anak-anak hilang keupayaan untuk hidup dan tidur di tempat yang tidak berkipas dan berpenghawa dingin. Sebab itu saya menyatakan kita jangan cepat dan mudah berpuashati. Persoalannya....sanggupkah kita melakukan yang demikian, dalam keadaan beban yang sedia ada memang sudah sedia banyak untuk dilangsaikan!. Hanya apabila Mentadak singgah diatas hud kereta saya, pada ketika itulah saya menerangkan pada anak-anak tentang Mentadak berkenaan, dan segala yang berkaitan dengannya. Agaknya inilah kos melepas yang terpaksa kita bayar untuk mendapatkan sesuatu yang lain. Agaknya lah......!

Monday, April 27, 2009

Saturday, April 25, 2009

Asyik.......

Akibat terlalu asyik menimang kamera DSLR baru...... saya terlepas beberapa 'event' alam yang juga penting untuk saksikan dan hayati, fenomena Bulan, Zuhrah dan Marikh berkumpul. Saya dah lama tak berkunjung ke Falak Online!. Asyik......asyik!

Himpunan planetari yang menarik telah berlaku pada awal pagi, 23 April yang baru lalu. Bulan, Zuhrah dan Marikh akan berkelompok dalam satu ruang sebesar 7 darjah sahaja, lebih kurang sebesar tapak tangan.

Di hemisfera barat, fenomena hijab akan berlaku di antara Bulan dan Zuhrah, cuma kita di Malaysia, 'timing' lari sikit maka tak dapatlah nak menyaksikan kejadian itu.

Namun begitu, kehadiran bulan sabit tua rendah di ufuk, sambil kilauan Zuhrah yang terang dan Marikh yang agak malap menyepi pasti boleh dijadikan target fotografi menarik, atau paling tidak pun menikmati keindahannya sebelum kita bertolak ke pejabat, sekolah atau mana-mana tujuan pun.
(Rajah simluasi di sebelah menunjukkan kedudukan 3 objek tersebut pada jam 6 pagi). Jom teropong!

Gambar dibawah adalah gambar yang berjaya dirakamkan oleh ahli astronomi, fenomena alam yang berlaku pada pagi berkenaan.
Tetapi fikir-fikir semula, memang ditempat saya tidak akan berkesempatan menyaksikan fenomena alam ini kerana pada pagi berkenaan, hujan tak henti-henti sejak dari awal malam!. I'll never give-up!.

Friday, April 24, 2009

Nikmat Kehilangan..

Anda pernah kehilangan ?. Kehilangan apa sahaja. Rasanya sebagai manusia normal, kehilangan adalah suatu elemen penting dalam kehidupan kita, menjadikan hidup kita bukan sahaja kelihatan lengkap sebagai mana insan biasa, tetapi lebih dari itu ‘kehilangan’ menjadikan kita manusia yang punya ‘rasa’ terhadap sesuatu. Bukankah ‘kehilangan’ ini yang memberi rasa pada emosi kita.

Ada dikalangan kita yang mungkin pernah ‘kehilangan’ sesuatu barang, berharga! Atau mungkin sesuatu yang teristimewa!. Kehilangan rantai emas, jam tangan, pen, telefon bimbit, baju atau apa sahaja. Rasa ‘kehilangan’ sesuatu barang sebegini cenderung memberikan kita pengalaman emosi yang kurang enak, pastinya….ya Pak!.
Namun nikmat kehilangan barangan sebegini kurang dirasai, apatah lagi jika barangan yang hilang itu mampu diganti dengan sesuatu yang jauh lebih baik dariada barangan yang hilang itu. Kesan emosinya juga tidaklah mengambil masa yang lama.
Bagaimana pula nikmat kehilangan pekerjaan?. Mahqamnya, kelihatan lebih tinggi dari nikmat kehilangan sesuatu barang. Mutakhir ini, kesan rempuhan kegawatan ekonomi global, memungkinkan ramai yang sedang mengalami nikmat kehilangan jenis ini. Ya….pastinya, kesan emosinya jauh lebih ‘enggak enak’. Apatah lagi jika selama ini kita menjalani dan menikmati kehidupan kita dengan cukup mewah atau kurang mengalami kepayahan, jauh sekali rasa keperitan.
Nikmat kehilangan sebegini akan lebih terasa apabila apa yang ada dahulu………kini sudah tiada!. Nikmat kehilangannya, mungkin seenak masakan 3 rasa. Manis ada, masam ada, pedas ada………aduh!. Kesan emosinya……mungkin sehingga ‘menjilat jari’ ( bahasa KFCnya! ). Bagaimana pula kita menterjemahkan nikmat kehilangan orang tersayang, nikmat kehilangan hati budi, nikmat kehilangan akal fikir dan.....yang kastanya lebih dari itu! ( kita fikir bersama! ).
Saya sungguh terkesan!, nikmat kehilangan cara hidup penuh liku, susah, sukar dan serba sederhana, suatu ketika dahulu!. Di mana sudah? Pastinya, kebanyakkan kita tidak merasakan berlampukan lampu minyak tanah suatu ketika dahulu....suatu nikmat, kerana berlampukan lampu philips kini, adalah lebih nikmat berbanding dahulu. Jika benar begitu, adakah pasti kita sudah benar-benar menikmati 'kehilangan' itu. Anda fikirlah sendiri!. Saya mempunyai jawapan sendiri mengenainya!.

Thursday, April 23, 2009

Wednesday, April 22, 2009

Google Blogger.

Buku kecil ini berharga RM79.80 di Harris Bookstore, 1 Borneo. Berdasar harga sajapun agaknya anda dapat menilai berapa bernilainya kandungan buku ini. Buku ini adalah salah satu daripada berpuluh judul buku dalam Siri For Dummies ini.


Buku tulisan Susan Gunelius, seorang yang memang ahli dalam hal blog dan blogging ini mengandungi 6 bahagian utama. Part 1 : Introducing Google Blogger, Part 2: Using Google Blogger, Part 3: Making Money with Blogger, Part 4: Growing Your Audience, Part 5: Extending Your Blog dan Part 6: The Part of Tens. Penulis menggambarkan buku ini..............

.........not only what Blogger is but also how to
start your own blog by using the Blogger platform. From choosing your blog topic and domain name to understanding the terminology that goes with blogging, you can find all the basics here.

Demikian menariknya pengenalan penulis pada kandungan buku kecil ini. Amat sesuai agaknya kepada orang-orang seperti saya yang baru belajar dan berjinak-jinak dengan dunia 'blogosphere'. Jika anda berusaha keras, versi ebook buku ini mudah diperolehi di internet. Buku setebal 388 muka surat ini sangat sesuai bagi yang mahu mempertingkatkan pengetahuan tentang dunia blog dan blogging. Selamat Membaca!.

Tuesday, April 21, 2009

Anda pelakon 'versatile' ?......

Sehabis bermain badminton, semalam saya berkesempatan bicara lepak bersama sahabat saya, Cikgu Ramli. Banyak isu yang kami bincangkan. Lagak seorang ahli panel dalam forum, kami berbincang kekadang sealiran pendapat, kekadang bercanggah pendapat. Demikian patut suburnya medan bertukar-tukar pendapat dan fikiran, kelak bukan sahaja membenihkan perspektif baru dan segar menanggapi sesuatu isu, tetapi yang lebih penting lagi mencambahkan pelbagai idea dan pendekatan menghadapi sesuatu perkara.

Bicara lepak kami merangkumi pelbagai isu dalam kehidupan sebagai seorang guru. Kami sepakat mengakui betapa generasi hari ini sudah jauh berubah daripada gaya tindak dan fikir generasi pada era kami bersekolah. Itu memang sudah suatu yang pasti, amat pasti!. Memang benarlah, anak-anak yang dilahirkan hari ini, lahir untuk hidup pada zaman yang sama sekali berbeza dengan zaman kita.

Suatu yang pasti kini, selain tanggungjawab ibubapa yang secara sepenuh masa bertanggungjawab pada ‘prestasi dan pencapaian’ anak-anak, sama ada dalam soal akhlak dan akal budinya, mahupun dalam soal daya inteleknya, amat jelas peranan dan tanggungjawab seorang guru, nampaknya semakin kritikal kini. Guru kini mestilah merupakan seorang pelakon yang ‘versatile’. Guru yang kompeten pada tuntutan pendidikan generasi celik komputer masa kini, mesti memiliki ciri pelakon serba boleh kerana pelajar masa kini mempunyai pelbagai dimensi melihat sesuatu.

Didalam kelas, seorang guru berperanan sebagai seorang ahli dalam bidangnya, perlu juga berlagak bagai seorang ayah dan ibu, dalam masa yang sama menjadi ‘doktor’ yang perlu merawat pelbagai penyakit. Dari satu sudut, guru juga perlu menjadi kerani mentadbir perkembangan pelajar-pelajar disamping perlu membuat pelaporan perkembangan pelajar kepada pihak pentadbiran. Pelbagai lagi watak yang perlu dilakonkan oleh seorang guru dalam melangsaikan tugas seorang guru. Ini belum lagi mengambil kira, wataknya menghadapi karenah ibubapa, rakan-rakan dan seumpamanya.

Saya dilontarkan persoalan oleh rakan lepak saya, apa pendirian menanggapi semua persepsi songsang sebegini?, dan bagaimana kita mampu hadir dalam suasana yang kurang kondusif ?. Saya jawap, dengan memperteguh keyakinan, kita buatlah tugasan yang berada dalam medan pengaruh kita sendiri. Disamping kita berusaha semaksimanya untk menjadikan ‘hidup’ kita dalam profesion ini suatu fasa yang menyeronokkan!. Sungguhpun saya tidak menafikan elemen lain dalam mempengaruhi ‘keseronokkan’ kita bekerja, tetapi saya tetap meyakini 2 jawapan saya diatas, sebagai pegangan merempuh cabaran sebagai seorang guru. Pada akhirnya, saya hanya mampu mengharap segala amal perbuatan saya dalam profesion ini mampu mencapai mahqam ‘satu kebaikan’ yang diterima Allah yang maha esa!. Tak tahulah..........